Saturday, July 25, 2009

Sahabat, kami menyayangimu..

Syukur Alhamdulillah pada-Nya kerana hari ini aku menerima mesej dari sahabat yang sudah lama tidak kedengaran khabar beritanya. “Izah, nak tanya ni, dah ada ke sahabat2 yang jadi ajk makanan untuk tamrin akan datang?”

Alhamdulillah, kakak ini menawarkan diri untuk membantu sahabat-sahabat. Berbanding sebelum ini, mesej yang dibalas sepi tanpa jawapan. Tertunggu-tunggu kami mengharap pertolongan. Akhirnya, mesej dihantar kepada adik-adik baru mengharap pertolongan.

Terus dibalas. “Okey! Boleh” tanpa perlu menunggu lama. Aku kagum dengan semangat perjuangan dan pemikiran baru adik-adik. Semoga semangat yang ada terus mengalir di jalan dakwah ini sehingga ke akhir hayat.

Aku membalas mesej kakak itu. “Alhmadulillah dah ada adik-adik yang jadi ajk makanan. Kenapa kak?” ..”Saje Tanya, Alhamdulillah dah ada yang membantu.”

Pengajaran yang ingin kusampaikan, bersangka baik setiap masa dan sayangilah sahabat kita walaupun dia sudah lama menyepi di jalan perjuangan ini. Siapa tahu dengan izin Allah, sahabat kita akan bangkit lebih hebat daripada kita dalam membela agama Allah satu hari nanti. Dan tidak mustahil kita pula menjadi sebaliknya. Oleh itu, ingatlah dalam setiap gerak kerja yang kita lakukan, kita akan sentiasa dinilai dan diawasi oleh Yang Maha Pencipta. Setiap amal perbuatan ikhlaskan kerana Allah semata-mata. Semoga dijauhkan dari perkara-perkara yang boleh menghalang kemenangan Islam.

Baitul Muslim



















Mahligai kasih abang Long dan Kak Salma


















Gerbang perkahwinan Abang Nik dan Kak Raihan





















Baitul Muslim Kak Ngah dan Abang Man







Nabi Musa bertemu jodoh di Kota Madyan


BERKATALAH dia (Syuaib): “Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan kamu dengan salah seorang daripada kedua anakku ini, atas dasar bahawa kamu bekerja denganku lapan tahun dan jika kamu cukupkan sepuluh tahun maka itu adalah (suatu kebaikan) daripada kamu, maka aku tidak hendak memberkati kamu.

Dan kamu insya-Allah akan mendapatiku termasuk orang- orang yang baik. (al-Qashash: 27).
PADA suatu hari, apabila tiba di Madyan, Nabi Musa telah menolong dua orang gadis mengambil air untuk kambing-kambing gembalaan mereka. Nabi Musa kasihan melihat gadis itu menunggu giliran untuk mengambil air kerana terlalu ramai lelaki di situ. Lalu, kedua anak perempuan itu pulang dan menceritakan akan hal itu kepada bapa mereka.
Bapa mereka menyuruh salah seorang daripada anaknya menemui Nabi Musa dan menjemputnya ke rumah. Maka, anaknya itu menemui Nabi Musa untuk menjemputnya ke rumah mereka.

Apabila tiba di rumah mereka, Nabi Musa disambut oleh bapa kedua-dua gadis itu. Bapa mereka mahu Nabi Musa menceritakan tentang dirinya. Maka, Nabi Musa menceritakan segala-galanya dan beliau kemudiannya diminta tinggal di rumah itu.
Tinggallah Nabi Musa di situ dan kehidupan beliau di situ sangat tenang dan bahagia. Hubungan Nabi Musa dan mereka juga semakin rapat.

Salah seorang anak perempuannya mahu Musa bekerja dengan mereka.
“Wahai ayah, elok sungguh sekiranya kita mengambil lelaki itu bekerja dengan kita. Dia banyak membantu kita dan juga seorang yang sangat kuat,” kata anak perempuannya.
“Baiklah anakku,” jawab ayahnya acuh tidak acuh.
Bapanya faham sangat akan perasaan anaknya itu.
Pada suatu pagi, bapa mereka telah memanggil Nabi Musa. Dia mahu bertanya akan hajatnya kepada Musa.

“Wahai Musa, aku mempunyai cita-cita untuk mengahwinkan engkau dengan salah seorang daripada anakku. Aku harap kamu dapat menemaninya dan menolongku. Bekerjalah kamu di sini menggembalakan kambing selama lapan tahun lamanya, sebagai mas kahwin untuk anakku. Sekiranya kamu suka, tambahlah dua tahun lagi. Itu bergantung kepada kesanggupanmu,” kata bapa gadis tersebut.

“Saya terima apa yang dihajati. Saya berjanji akan turut mana-mana keinginanmu sama ada lapan atau 10 tahun lamanya. Allah akan menjadi saksi atas perjanjian kita ini,” kata Musa.

Dengan perkahwinan itu, Nabi Musa hidup bahagia kerana mendapat isteri yang cantik dan mentua yang baik. Nabi Musa bekerja keras bagi memenuhi janji yang telah ditetapkan.
Walaupun beliau bahagia dengan kehidupannya tetapi telah tiba masanya untuk pulang ke Mesir. Setelah perjanjian bersama dengan mentuanya tamat. Nabi Musa bersama isterinya berangkat pulang ke Mesir. Nabi Musa meninggalkan mentuanya yang sudah tua. Baginda berdoa semoga selamat sampai ke destinasi. Baginda turut berdoa semoga Allah memelihara keluarga isterinya itu.


PENGAJARAN

* Apabila kita berjanji, hendaklah kita menunaikannya.
* Hendaklah kita menolong orang yang berada di dalam kesusahan.

Sunday, July 12, 2009

IBADAT UMRAH

Perjalanan kami mengerjakan ibadat umrah bermula pada 30hb Mei dan selamat kembali ke tanah air pada 11hb Jun. Syukur pada Allah yang telah memilih kami yang serba kekurangan ini untuk menjadi tetamu-Nya. Terima kasih ma abah kerana dengan murah hati membawa kami tiga beradik bersama-sama mengerjakan umrah. Niat ibuku untuk membawa kami ke tanah suci akhirnya menjadi kenyataan. Alhamdulillah dengan izin-Nya kami dapat menjejakkan kaki julung-julung kalinya ke tanah suci.

Kami bertolak dari Malaysia pada pukul 1.00 tengahari dan selamat tiba di lapangan terbang Madinah pada pukul 5.30 petang. Perjalanan selama 9 jam membuatkan kami berasa tidak sabar-sabar lagi untuk melihat keindahan bumi suci sebagaimana yang diceritakan oleh jemaah haji dan ditonton dalam tv. Mata kami sekejap-kejap pandang ke luar tingkap melihat keindahan bumi Allah. Subhanallah sangat cantik melihat bumi Allah.

Kapal terbang Arab Saudi Airlines yang kami naiki sangat besar dan dapat menampung ramai penumpang pada satu-satu masa. Dianggarkan seramai 450 orang yang menaiki kapal terbang tersebut. Makanan yang disediakan di atas kapal terbang separuh masak menyebabkan ramai penumpang yang muntah ketika kapal terbang hendak mendarat. Di samping itu, ketika pendaratan berlaku sedikit gegaran membuatkan perut beralun dan seterusnya muntah. Termasuk diriku yang lemah ini. Habis semua makanan yang dimakan muntah. Terdengar penumpang di belakang, kiri dan depanku muntah. Samalah semua. Cuaca panas juga mula terasa.

Alhamdulillah kami berada di Madinah selama 2 hari dan di Mekah 9 hari. Kami menginap di hotel yang sangat bagus dan selesa. Boleh dikatakan bertaraf empat bintang. Di Madinah, kebanyakan hotel besar. Makanan juga sedap kerana masakan orang Patani.

Pertama kali menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi, terasa kerdilnya diri ini. Subhanallah…sangat cantik dan indah. Teruja dan tidak sabar untuk masuk ke dalam masjid. Sebelum melangkah masuk ke Masjid Nabawi, beg kami perlu diperiksa. Masya Allah.. kalimah pertama menutur di bibir saat memandang dan meneroka ke dalam masjid. Sangat luas dan besar. Botol air yang sentiasa di dalam beg, kami isi dengan air zam-zam. Seterusnya, mengambil tempat ke dalam masjid. Laungan azan bergema kuat. Syahdunya..

Bacaan imam benar-benar menusuk hati kami di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. Bacaan mereka sangat merdu dan jelas. “Ya Allah, gembiranya dapat solat di masjid-masjid ini yang pernah Nabi dan para sahabat solat di dalamnya.” Gembira melihat ramainya umat manusia berduyun-duyun ke masjid setiap kali waktu solat. Pertama kali aku tengok muslimin yang berlari-lari kerana mengejar solat berjemaah. Manakala muslimat pula melajukan langkah untuk mendapatkan pahala berjemaah. Alangkah indahnya jika keadaan tersebut berlaku di Malaysia.

Pada malam pertama, kami dapat melihat bumbung Masjid Nabawi bergerak. Cantik sungguh dan dapat melihat bumbung langit pada waktu malam dihiasi bintang dari dalam masjid. Subhanallah, masya Allah..indahnya.

Hari pertama kami di Madinah, kami dibawa melawat sekitar Masjid Nabawi. Antaranya, pasar-pasar di tepi masjid, perkuburan Baqi’ dan masjid-masjid dahulu yang tidak digunakan lagi. Pembinaan sedang dilakukan di sekitar masjid, pintu yang selalu jemaah muslimat masuk, ditutup untuk pembaikan. Jadi, kami masuk melalui pintu yang jauh ke belakang. Hari kedua, pagi-pagi lagi kami menaiki bas melawat Masjid Quba’, Masjid Qiblatain, pasar kurma, kubur isteri Nabi s.a.w dan ladang kurma.

Selepas solat Zohor, kami bertolak ke Mekah dengan tiga buah bas. Dalam perjalanan, kami singgah untuk solat Asar. Sangat cantik masjid tersebut. Perjalanan memakan masa selama 5 jam. Selawat dan zikir kami alunkan perlahan-lahan. Kami tiba di Mekah pada pukul 10.30 malam. Selepas makan malam, kami terus mengangkat beg-beg ke dalam bilik. Seterusnya, kami perlu tidur awal agar dapat mengerjakan ibadat umrah dengan baik pada esoknya. Ada sebilangan jemaah yang terus mengerjakan ibadat umrah ( tawaf dan saie ) pada malam tersebut. Kuatnya badan mereka tapi kepenatan juga..sampai-sampai terus mengerjakan umrah.

Ramai juga jemaah kami yang membawa anak-anak kecil untuk mengerjakan umrah. Satu keluarga, empat atau lima orang anak yang turut dibawa. Alhamdulillah. Ada yang emak mereka tak boleh berjalan, mereka bergilir-gilir tolak dengan kerusi roda. Gigihnya mak cik dan anak-anaknya. Terdapat juga jemaah kami yang sindrom down, turut sama mengerjakan ibadat.

Satu peristiwa yang menyentuh hatiku adalah melihat peminta-peminta sedekah kanak-kanak yang dipotong kedua-dua belah tangannya. Cukup menyayat hati di tengah-tengah cuaca yang panas terik mereka duduk berlutut di sekitar masjidil haram, di tempat pembinaan. Kenapa kerajaan Arab tidak mengambil tindakan untuk menjaga rakyat mereka..Kanak-kanak tersebut merupakan orang Arab kulit hitam yang hidup susah. Tak ada siapa yang menghulurkan sedekah.

Sahabat-sahabat nak tau, aku bertemu dengan Syaza mmk kpz di hadapan Masjidil Haram ketika nak melangkah masuk Syaza menegurku. Subhanallah, di kalangan berjuta-juta umat manusia, Allah mempertemukan kami. Syukur pada-Nya. Syaza juga datang bersama keluarganya.

Setiap kali selepas solat fardhu, kami akan mengerjakan solat jenazah. Setiap waktu pasti ada solat jenazah. Pelbagai bangsa kami dapat bertemu di sana. Kami mengerjakan ibadat tawaf dan saie pada waktu pagi kerana di saat itu tidak ramai orang berbanding waktu malam.

Masyarakat Arab sangat dermawan. Selepas solat pasti ada sedekah makanan. Orang kita panggil sabilillah atau ‘sabil’. Di tepi jalan, selepas subuh kami menerima sebuku roti bulat yang besar dari pak syeikh arab. Sebelum ini, kami pernah menerima seplastik besar nasi Arab dan kurma. Makanan kat sana sangat mewah dan sedap-sedap. Orang Arab terkenal dengan sifatnya yang sangat memuliakan tetamu. Ketika kami ke pasar, pasti Pak Arab bersalam dan berdakap dengan abah dan adikku. Sangat memuliakan tetamu jika dibandingkan dengan penjual-penjual di Malaysia. “Malaysia bagus”, ungkapan itu yang dituturkan Pak Arab untuk menarik pelanggannya. Namun, Pak Arab jenis tidak sabar, di jalan-jalan raya sering kedengaran hon-hon kereta yang tidak henti-henti. Kenderaan yang dipandu juga laju. Aku perhatikan tiada wanita Arab yang memandu kenderaan. Semua lelaki Arab. Wanita Arab tidak dibenarkan keluar bebas tidak seperti wanita di Negara kita.

Hari terakhir kami di sana terasa sangat syahdu, sayu, sedih dan berat hati untuk meninggalkan bumi Mekah. Kami bertolak selepas waktu Asar ke lapangan terbang Jeddah. Sepanjang perjalanan, kami dapat melihat bumi Jeddah yang disirami lampu-lampu yang sangat cantik. Mewahnya Negara Arab ni, ya negaranya merupakan Negara yang kaya. Hasil bumi utamanya adalah minyak.

“Ya Allah, pilih dan jemput kami kembali menjadi tetamu-Mu di tanah suci ini.” Ketika kapal mencecah ruang udara, terasa diri ini telah jatuh cinta pada bumi Mekah. Syukur pada-Mu Ya Rabb. Kerinduan pasti menggamit kami kembali untuk ke sana. Insya Allah.

Saturday, July 11, 2009

Sambung Pengajian..alhamdulillah.

Alhamdulillah..

Syukur pada Yang Maha Esa dapat kukembali menjejakkan kaki ke bumi UPM setelah dua bulan bercuti. Pengajian Master semester pertama 2009/2010 bermula pada hari Jumaat 10hb Julai 2009. Kelas kami hanya hujung minggu iaitu hari Jumaat dan Sabtu. Alhamdulillah hari lain ku berkesempatan menjaga kedai PMIUPM.

Besar harapan abah yang benar-benar bercita-cita untuk melihat anak perempuannya ini menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi lagi. “Insya Allah abah, kak jah akan berusaha sedaya upaya untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi”. Janjiku sungguh-sungguh. Kakakku pun tidak putus-putus memberi semangat dan dorongan kepadaku. Macam-macam nasihat diberikannya.

Dua abang dan dua kakakku semua dah bekerja. Alhamdulillah. Aku dan adik bongsuku, Aiman yang tingkatan empat masih menuntut. Semoga Allah menolong dan mempermudahkan urusan kami setiap masa dan ketika.

“Ya Allah, aku tak nak terpinggir dalam perjuangan menegakkan agama-MU. Semoga usahaku ini dapat melahirkan lebih ramai intelektual muslim dalam jemaah Islam dan seterusnya menolong dan mengukuhkan jemaah Islam serta ummah.” Aku tak nak menyambung pelajaran untuk mendapat gaji yang tinggi untuk kepentingan diri dan keluarga semata-mata, namun lebih jauh lagi ingin kusumbangkan untuk jemaah Islam dan fakir miskin yang memerlukan.

Aku pernah terbaca buku jutawan internet muda, Irfan Khairi. Doa yang sentiasa dipanjatkannya; “Ya Allah, jadikanlah aku seperti air yang sentiasa mengalir tenang di sungai yang menghilangkan dahaga kepada semua orang pada setiap hari” Bukan mudah untuk mencapai kejayaan dan kebahagiaan melainkan dengan usaha keras yang tidak pernah jemu dan berputus asa. Matlamat yang jelas dan tetap kita tuju dengan hati yang suci bersih mengharap dan mendamba pertolongan-Nya. Hanya orang yang berusaha akan mendapat hasilnya.

“Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya Kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” ( al-Nahl: 97 )

“Kekuatan dan motivasi yang cukup kuat adalah kembali dan ingatlah kepada Allah dan Rasulullah s.a.w.” kata Kak Basitah ketika kami sama-sama satu usrah dahulu dengan Kak Aida Ros. Pengorbanan Nabi s.a.w dan para sahabat serta para syuhada’ dalam menegakkan Islam di muka bumi ini tidak dapat disamakan dengan pengorbanan kita. Kesusahan yang kita alami hanya secebis. Sering kuingatkan diri ini tatkala rasa lemah. Semoga Allah memilih kami untuk sentiasa mendapat redha dan rahmat dari-Nya. Ameen.


Cahaya Kemuliaan.