Saturday, October 31, 2009

Terbang setinggi yang boleh wahai umat Islam..

























Gambar dari dalam kapal terbang Arab Saudi Airlines..Maha Suci Allah. Syukur Ya Rabb.



Kecil dan kerdilnya kami bila menjejak angkasamu.


sungguh indah kebesaran-Mu Ya Rabb.


Tuesday, October 6, 2009

Bismillah wal hamdulillah..

Hari Sabtu malam, 3 Okt memberi pengalaman dan ilmu yang baru kepada kami yang masih berjinak-jinak dengan dunia dakwah di luar bersama masyarakat. Dengan berkereta pada pukul 7 petang kami menuju ke Sekolah Menengah Agama Rawang.

Niat diperbetulkan demi mengharap keredhaan Allah Taala. Jalan sesak benar-benar menguji kami dalam suasana yang gelap pekat, kami redah jua demi janji dengan adik-adik untuk menyampaikan usrah kepada mereka. Terbayang wajah lembut dan bersih adik-adik sekolah agama. Bagi diriku yang pertama kali diajak oleh sahabat, benar-benar teruja untuk ke sana.

Kedudukan sekolah tersebut yang terletak di atas bukit, sangat memukau dan memikat hati kepada para pencinta alam. Aku yang sememangnya menyukai keindahan alam benar-benar bersyukur kerana berpeluang ke sana. Bukan senang untuk ke sana dengan jarak perjalanan yang memakan masa hampir sejam. Terima kasih Nadirah kerana menjemputku ke sana.

Kami tiba di sana kira-kira jam 9.00 malam. Ketika kami tiba di surau, adik-adik sedang bersalaman antara mereka. “Ya Allah, aku merindui saat bersama-sama sahabat di sekolah dahulu.” Kaki mengatur langkah dengan cepat memanjat tangga surau kerana kami telah terlambat. Alhamdulillah kami disambut dengan senyuman dan salaman dari adik-adik yang memiliki raut wajah yang tenang dan bersih. Bersyukur mereka berpeluang menimba ilmu di sekolah agama berbanding diriku hanya menuntut di SMK.
Adik-adik menjemput kami ke asrama sekolah mereka, ‘Aspuri’ yang terletak di atas bukit. Gembira dan seronok bertambah-tambah tatkala memasuki kawasan asrama mereka. Saat ini kurasakan setiap kali menghantar adikku yang menuntut di SMK Agama Melor, Kelantan. Suasana biah solehah terasa meresap pada diri kami. Sungguh tenang dan mendamaikan. Kelibat adik-adik yang memakai tudung labuh dibaluti baju kurung yang manis dan sejuk mata memandang. Jarang-jarang dapat dilihat suasana sebegitu.

Kami menyampaikan usrah kepada adik-adik naqibah yang telah dipilih oleh ustazah mereka. Aku hanya mendengar sahabat-sahabat menyampaikan silibus usrah sambil memerhatikan ketekunan adik-adik mengikuti usrah. Ketika usrah berjalan, tiba-tiba kami mendengar jeritan dan pekikan dari bilik dorm sebelah. Dan dalam masa sama kami melihat adik-adik dari bilik sebelah bertempiaran lari ketakutan. Aku dan Hani bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku. Sementara Nadirah meneruskan usrah bersama adik-adik.

Di bilik sebelah, seorang adik tingkatan 1 dirasuk histeria. Aku yang sememangnya belum pernah berhadapan dengan rasukan histeria terasa seram sejuk melihat adik tersebut yang bertindak ganas mencampak bantal dan kain. Dengan suara dan wajah yang garang dia memarahi kami dengan kasar. Perlahan-lahan adik ketua aspuri dan sahabat-sahabatnya masuk kembali ke dalam dorm untuk berbicara denga jin yang masuk ke dalam badannya. Keberanian adik-adik itu berkomunikasi dengan bijak dapat mengawal suasana kembali tenang. Aku yang berdiri di tepi pintu diajak oleh Hani untuk bersama-sama adik tersebut. Hani pegang tangan adik itu sementara Liyana berkomunikasi dengan jin tersebut. Penggantungan dan keyakinan adik-adik itu kepada Allah sangat kuat. Tidak perlu ditakuti kerana mereka juga makhluk Allah yang lemah. Komunikasi demi komunikasi dapat melancarkan suasana. Keengganan jin tersebut untuk keluar dari badan adik itu menyebabkan kami membaca ayat Kursi dan surah Yassin. Saat alunan ayat Quran bergema, jin tersebut memekik dan meronta-ronta kepanasan serta ingin keluar. Sangat sukar untuk jin itu keluar dari badan adik itu. Kami membantu dengan sepenuh tenaga sambil bacaan ayat Kursi dan Yassin terus bergema.

Ketika kami berusaha memulihkan adik itu, tiba-tiba kedengaran adik di bilik sebelah dan belakang pula yang dirasuk. Pekikan yang semakin kuat. Kami bergegas keluar dan menuju ke bilik tersebut.

“Ya Allah, apa musibah yang berlaku malam ini.? Tiga orang yang dirasuk.”

Suasana menjadi bertambah kelam kabut. Aku dan Hani menjadi semakin berani untuk menolong memulihkan adik-adik. Begitu juga adik-adik lain, saling membantu. Ustaz dan ustazah mereka pada malam tersebut tidak ada. Jadi, kami saling membantu untuk memulihkan adik-adik tersebut. Ketika jin tersebut berada di kaki, dia enggan keluar. Kami mengambil sudu dan mengepit di celah ibu jari kaki. Dia menjerit kesakitan. Akhirnya, setelah hampir 4 jam bertarung dengan suasana cemas dan kelam-kabut, keadaan menjadi tenang kembali dan tiada lagi raungan dan pekikan.
"Alhamdulillah, syukur pada-Mu Ya Allah."

Kami mengambil keputusan untuk tidur di sekolah tersebut memandangkan hari telah jauh malam dan keadaan adik-adik tersebut masih membimbangkan. Keesokan pagi-pagi hari kami bertolak pulang ke UPM. Insya Allah, jika dipanjangkan umur, kami akan menjengah kembali ke SM.Agama Rawang.
Teringatku saat kami mengadakan teater seorang sahabat kami dirasuk tapi dia tidak memekik dan meraung. Dia mengalami kesakitan seolah-olah diambang sakaratul maut. Ada yang mengatakan dia dimasuki roh orang yang telah mati dan macam-macam cakap-cakap lagi..
"Adik-adik kami bakal jundullah penegak kalimah Allah di masa hadapan. Andai kami pergi dahulu Ya Allah, kami tinggalkan adik-adik tersebut untuk meneruskan perjuangan meninggikan agama-Mu walaupun mereka bukan zuriat keturunan kami yang akan meneruskannya. Namun Ya Allah, sebelum roh ini bertemu-Mu, izinkanku untuk melahirkan jundullah di masa hadapan yakni para mujahid dan mujahidah pembela agama-Mu. Perkenankan doaku. Ameen."