Sunday, December 13, 2009

Coretan Pengalaman Bersama Adik-adik Nisa Puchong




Peluang pertama kali Nisa Puchong mengadakan Kem Penghayatan Islam dan Sains di Taman Sri Raudah, Gombak benar-benar memberi ilmu dan pengalaman baru kepada kami AJK Nisa Puchong. Seawal cuti sekolah, kem Nisa diadakan.

Selaut kesyukuran dipanjatkan kepada Ilahi kerana memberi ruang dan peluang kepada kami yang serba lemah dan kekurangan serta miskin jiwa dan harta ini untuk mengadakan program keagamaan bercorak lain dari kebiasaan.

Selama dua hari, satu malam bersama adik-adik remaja perempuan membuatkan jiwa dan mataku yang selama ini penat bekerja menaip tiap patah perkataan di laptop kesayanganku hampir setiap hari untuk menyiapkan Transliterasi Jawi Bustan al-Salatin Bab Lima akhirnya terubat. Syukur Alhamdulillah siap jua akhirnya tugasan pertama projek Masterku. Semoga Allah permudahkanku untuk langkah seterusnya menganalisis Teks Karangan Nuruddin al-Raniri yang memiliki Tujuh Bab kesemuanya. Dah kongsi cerita lain pulak ni.

Okey, sambung balik kisah kem Nisa yang julung-julung kali diadakan. Saya tak nak cerita kesusahan dan liku-liku kami menganjurkan kem tersebut kerana sudah lumrah setiap yang berjuang di jalan-Nya pasti diuji dengan susah dan payah yakni kemanisan di jalan dakwah. Saya nak coret dan kongsikan dengan sahabat-sahabat bahawa hampir keseluruhan program tersebut mencapai objektif yang ditetapkan. Respon yang baik dari adik-adik mengembirakan AJK Nisa dan ramai adik yang berharap agar Kem Penghayatan Islam dan Sains Kedua pula diadakan. Bukan adik-adik saja yang ingin kem kedua, malah kami sebagai AJK Nisa juga mengharapkan sama. Semoga gerak kerja akan datang dari Nisa khasnya akan lebih mantap dan diperkemaskan. Bukan mudah tapi tiada mustahil untuk melaksanakannya dengan perancangan rapi dan kebergantungan serta keyakinan yang kuat kepada-Nya.

Namun, objektif untuk melahirkan adik-adik yang benar-benar memahami dan beramal dengan apa yang diberikan bukan dapat dilaksanakan sekelip mata hasil kem selama dua hari. Penekanan terhadap solat yang sempurna dan berjemaah serta aurat. Biar adik-adik remaja perempuan dapat memahami dan beramal dengan dua perkara tersebut sahaja sudah memadai sebelum melangkah lebih jauh untuk menjadi insan kamil yang beriman dan bertaqwa.

Sudah menjadi kebiasaan remaja tidak gemarkan pengisian bercorak ceramah. Ketika ustazah menyampaikan tazkirah, sudah dapat dijangka pasti ada yang tidur, berbual dan bermain-main. Bagi mereka, biar ustazah cakap sorang-sorang kat depan. Hanya segelintir yang berminat, benar-benar fokus. Buktinya, apabila ditanya selepas tazkirah tidak ingat dan tidak tahu. Kesabaran kami perkuatkan ketika melayan karenah mereka.

Mereka lebih gemarkan program bercorak outdoor dan latihan dalam kumpulan. Tidak sabar-sabar untuk night walk dan jungle trekking. Betullah untuk menyampaikan sesuatu perkara mesti kena dengan cara dan minat mereka. Oleh itu, night walk di hujung perjalanan, kami adakan halaqah dan membaca surah al-mulk bersama-sama. Kami cuba sedaya upaya untuk memberi dan menyampaikan mesej agama Allah ini menurut kesesuaian dan minat mereka. Rancangan awal untuk memberi pengisian ketika jungle trekking, terpaksa dibatalkan memandangkan hujan renyai-renyai dan keselamatan mereka perlu dijaga dengan sebaiknya. Semoga usaha yang sedikit ini diterima sebagai amalan di sisi-Nya.

Wednesday, December 9, 2009

MUSLIMAT DAN PERJUANGAN

MUSLIMAT DAN PERJUANGAN

Para pejuang Islam mengalami berbagai macam kesusahan. Namun demikian semua ini hendaklah kita jadikan sebagai satu latihan bagi kita membiasakan diri di dalam menempuh kesusahan di dalam perjuangan Islam ini.
Kesusahan-kesusahan seperti ini mestilah dilatih. Jika dibandingkan dengan kesusahan pejuang-pejuang Islam di tanah air kita, Muslimat yang mendokong perjuangan Islam di luar Negara kita, mereka bukan sahaja menempuh kesusahan di tempat-tempat awam tetapi penyeksaan di dalam penjara-penjara. Kalau kita menghadapi kesusahan yang sedikit bermakna kita masih berada di dalam kesenangan tetapi Muslimat dan saudara-saudara kita yang berjuang untuk Islam di tempat lain mereka menempuh kesusahan di dalam penjara. Inilah perjuangan Islam yang sebenar.
Kita melihat di dalam kenyataan sejarah bagaimana Muslimat Mesir yang berjuang bersama-sama sebuah jama’ah Islam yang dikenali sebagai gerakan Ikhwan Muslimin, mereka sanggup menghadapi penyeksaan dalam penjara. Seorang pemimpin Muslimat Mesir, Zainab Al-Ghazali pernah diseksa di dalam penjara sehingga wajahnya dilihat seperti seorang yang berusia Sembilan puluh tahun sedangkan umurnya di dalam lingkungan empat puluhan. Cuba kita bayangkan bagaimana pahitnya penyeksaan yang diterima oleh seorang muslimat, iaitu; Zainab al-Ghazali. Apakah dosanya? Apakah kesalahannya sehingga ia disiksa di dalam bilik kurungan yang dipanaskan udaranya dan di dalam musim dingin sewaktu tengah malam dipasangkan penyaman udara dan diletakkan di atas air batu serta dilepaskan anjing ganas bersama Zainab al-Ghazali. Kata Zainab al-Ghazali ketika itu; “Saya tidak meletakkan harapan kepada sesiapa melainkan kepada Allah, hati saya bulat kepada Allah Azza wa Jalla.” Anjing yang dibiarkan lapar dilepaskan dalam bilik kurungan Zainab al-Ghazali dan anjing itu menerkam dengan ganas dan Zainab al-Ghzali menutup mukanya tetapi anjing itu mengerti bahawa orang yang hendak dijadikan sebagai mangsa itu bukan sebarangan orang. Dia adalah seorang muslimah yang mempunyai sifat kesabaran dan ketaatan yang tinggi kepada Allah. Selama beberapa jam anjing itu menjilat seluruh tubuh Zainab al-Ghazali dan dilihat pakaian putih yang dipakainya itu sedikit pun tidak terkoyak dan tubuhnya tidak sedikitpun digigit oleh anjing itu.

Dalam keadaan yang demikian Zainab al-Ghazali sempat berdakwah walaupun ia diseksa sehingga seorang pemuda yang dilatih khas untuk menyeksa pejuang-pejuang Islam telah kembali kepada jalan Allah s.w.t setelah ia melihat ketabahan dan kesabaran Zainab al-Ghazali. Pemuda itu memanggil Zainab al-Ghazali dan berkata; “Wahai ibuku, selama ini aku tidak pernah sujud kepada Allah tetapi selama engkau berada di dalam tahanan ini, aku ditugaskan untuk menyiksa engkau. Sepanjang yang aku perhatikan terdapat perkara-perkara yang luar biasa yang tidak pernah aku lihat. Oleh itu ajarkanlah kepada saya bagaimana saya hendak mengenali Allah dan bagaimana saya hendak mendirikan sembahyang serta tunduk kepada Allah Azza wa Jalla.”
Zainab al-Ghazali di waktu disiksa sebegitu hebat dengan izin Allah s.w.t telah menyelamatkan seorang pemuda yang sesat dan hanyut oleh system jahiliyyah, sekularisme, nasionalisme dan sebagainya.
Bagaimanakah pula penyeksaan yang dialami oleh dua oang adik perempuan Sayyid Qutb ( Hamidah Qutb dan Aminah Qutb )? Mereka ditahan bersama-sama di dalam sebuah penjara tentera seperti yang dialami oleh Zainab al-Ghazali. Al-Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah sebelum digantung mati sebagai syahid telah sempat menulis surat kepada adik perempuannya dan berkata kepada adik perempuannya itu. “Wahai adikku, barangkali sekarang ini kau sedang melihat dengan gerun tali gantung yang akan menjerut leherku. Kita akan merasai perjuangan kita ini sempit apabila kita memikirkan bahawa kita yang memulakan perjuangan dan kita yang akan mengakhiri perjuangan kita ini; tetapi apabila kita memikirkan bahawa perjuangan kita ini bukan kita yang memulakannya dan bukan kita yang menamatkannya, maka ketika itu terasalah kita bagaimana luasnya perjuangan kita, bagaimana luasnya keluarga kita kerana keluarga kita bukan keluarga yang diikat oleh keturunan darah tetapi keturunan kita diikat oleh kesatuan ‘aqidah La Ilaha Illallah Muhammad al-Rasulullah.”
Perjuangan kita adalah perjuangan yang dimulai oleh Nabi-nabi dan Rasul-rasul Alaihimussalatu wassalam dan akan terus disambung sampai hari qiamat oleh mu’min yang akhir di bumi ini. Oleh kerana itu kita hendaklah kenal bahawa perjuangan kita (perjuangan Islam) walaupun bilangan kita kecil tetapi sebenarnya kita adalah merupakan satu kelompok yang besar yang dihantar oleh Allah ke dunia ini. Kita adalah merupakan penyambung-penyambung perjuangan kebenaran yang dimulai oleh para Rasul dan para Anbiya’ hanya akan berakhirnya bila berakhirnya dunia ini. Oleh itu yakinlah kita bahawa tidak ada kekuasaan manusia di bumi ini yang boleh menghalang dan menyekat perkembangan dan penerusan perjuangan Islam.

Contoh yang paling tinggi yang pernah ditunjukkan oleh Sahabiyyatul-Rasul (Muslimat) bersama Rasulullah s.a.w, iaitu kisah seorang Muslimah yang bernama Nasibah bin Ka’ab al-Ansariyyah. Ketika dalam peperangan Uhud, ayahnya, anak lelakinya dan saudara lelakinya telah gugur syahid di medan itu. Dia kematian ayah, anak dan saudara tetapi Nasibah tidak mempedulikan hal itu tetapi yang ditanya bagaimanakah keadaan Rasulullah s.a.w. Apabila sahabat-sahabat memberitahu bahawa Rasulullah selamat dalam peperangan itu maka Nasibah berkata: “Segala penderitaan dan musibah yang menimpa aku, setelah diketahui selamatnya Rasulullah maka segala kesusahan itu tidak memberi apa-apa erti kepada aku.” Ertinya, bagaimana kita melihat semangat dan keimanan sehingga meletakkan kasih dan kecintaan mereka kepada Allah dan Rasul melebihi daripada kasih kepada yang lain. Hal ini juga pernah diucapkan oleh seorang Muslimah yang baik, yang ta’at kepada Allah, iaitu Rabi’atul Adawiyyah dalam satu ucapan syairnya, di mana beliau berkata:
Wahai Tuhanku,
Apabila sah aku mendapat kasihMU, maka segala-galanya
Di dunia ini tidak ada erti lagi.
Kerana apa yang ada di atas tanah ini adalah fana’.

Jadi oleh kerana itu kewajipan kita Muslimin dan Muslimat adalah untuk meneruskan perjuangan Islam, menyampaikan Islam dan mendakwahkan Islam kepada masyarakat serta menyelamatkan keluarga kita dan masyarakat supaya jangan jatuh ke tempat yang merbahaya iaitu kekufuran dan kemurtadan. Oleh itu kita akan tetap teruskan perjuangan ini. Insya Allah.