Thursday, August 20, 2009

Jom Bermuhasabah seketika

Umurku kini menginjak 23 tahun, pengalaman yang aku tempuhi dan kulalui sedikit sebanyak mendewasakan dan mematangkanku erti kehidupan ini. Anugerah Allah yang terbesar ialah nikmat Iman dan Islam.

Sepanjang hidup kita yang telah dikurniakan oleh Ilahi dengan pelbagai nikmat ini, sejauh mana kita sumbangkan untuk agama Allah? Apabila bertemu Allah Taala nanti, mampukah kita jawab atau kita terus terdiam apabila diaju soalan apa sumbanganmu terhadap agama ISLAM? Mampukah kita jawab? Soalan ini aku ajukan khusus terhadap diriku yang sering lalai dalam menjalankan amanah Allah ini. Takut dan gerunnya di saat itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Apabila berbicara bab sumbangan bakti dan pemberian kita, ya kita memberi sumbangan dan berbakti kepada kedua orang tua, saudara mara dan sahabat handai serta masyarakat sekeliling kita. Betul, setiap hari kita memberi sumbangan kepada orang sekeliling kita. Syukur Alhamdulillah dengan peluang dan ruang yang ada dapat mempraktikkan ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Tidak banyak yang dapat diberi, cuma sedikit.

Namun, terfikirkah kita apa sumbangan dan bakti kita kepada ISLAM? Cuba kita sama-sama fikir, renung dan hayati bersama. Kadang-kadang kita bersikap mementingkan diri sendiri berbanding meletakkan keutamaan ISLAM di hadapan sekali melebihi kepentingan diri.

Aku merenung jauh ke dalam diri dan bertanya diri sendiri. Apa yang kita lakukan di saat ISLAM dihina dan ditindas? Adakah kita terlena di tilam yang empuk dibaluti selimut dingin dan bergembira bersama keluarga dan sahabat handai, di saat ISLAM diperlekehkan dan ketika UMAT ISLAM diperangi? Teringat hadis Nabi yang mengatakan bahawa baginda tidak akan mengaku kita sebagai umatnya seandainya kita tidak mengambil peduli urusan UMAT ISLAM. Ketika UMAT ISLAM ditindas dan dizalimi, kita tidak menolong saudara seakidah kita bahkan kedekut untuk mendoakan mereka apatah lagi berjihad fisabilillah. Alasan sering dicipta dan direka untuk melarikan diri dari menjalankan amanah agama ini. Berjuta-juta alasan diberikan untuk mengelakkan diri dari bersama-sama jemaah ISLAM bagi mendokong perjuangan ISLAM. Kenapa ye? Tepuk dada Tanya iman.

Di dunia ini, kita berjaya mencipta pelbagai alasan untuk tidak mahu menolong agama ALLAH. Namun, di akhirat nanti, jawablah di hadapan Pencipta Alam ini Yang Menguasai Hari Pembalasan. Hakikatnya, kita tidak mampu untuk beralasan di hadapan-NYA. Sekali lagi kuingatkan diri ini yang sering lalai dan lupa. Tulisan ini aku utarakan untuk mengingatkan diriku sendiri dan sahabat-sahabatku.

Diri yang lemah ini, kadang-kadang tidak mampu untuk menipu diriku sendiri bahawa sebenarnya aku sedih

apabila berhadapan dengan sahabat-sahabat yang enggan bersama-sama di jalan ini. Apabila mesej yang

dihantar untuk mengajak ke tamrin, usrah dan program jemaah langsung tidak dibalas. Seandainya dibalas,

alasan yang diberi. “Ya Allah, tsabatkan kami di jalan perjuangan ini. Kuatkan jiwa dan kaki kami di jalan

ini..Anugerahkan kami sahabat-sahabat di jalan-MU. Ameen Ya Allah"

Wednesday, August 19, 2009

Kelebihan kaum hawa

Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga

kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-

pintu yang ia kehendakinya - Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar.