Monday, January 18, 2010

Merindui Jalan Perjuangan Nabi dan Para Syuhada'

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Katakanlah "Jika bapak-bapakmu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khuatirkan kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-NYA serta berjihad di jalan-Nya,maka tunggulah sAMpai Allah memberikan keputusan-NYA." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.

( At-Taubah : 24 )

Kemenangan yang paling besar adalah kita menemui Allah dalam keadaan kita berjuang menegakkan Agama-Nya.
Semoga Allah memilihku dan sahabat seperjuangan untuk mati syahid di jalan-Nya. Ameen.

Betapa kumerinduinya Ya Allah!

Saturday, January 16, 2010

Secebis kisah di jalan dakwah.

Tersentak seketika menerima mesej balas dari Pengetua Kolej Kelima hari ini. Asalnya, aku menghantar mesej kepada pengetua memberitahu bahawa tandas di blok Kelah telah berminggu-minggu rosak dan tidak boleh digunakan. “Buat laporan bertulis di pejabat kolej, saya sakit, mc.”

Aku terus membalas mesej bertanya ayahanda pengetua menghidap sakit apa. “Saya patah kaki.” Ringkas jawapannya. Aku terus membalas mesej bertanya. Rupa-rupanya ayahanda pengetua terlibat dalam kemalangan jalan raya pada bulan November dan kakinya telah disimen serta telah membuat pembedahan. Kini masih di hospital Johor Bahru.
Terbit rasa belas kasihan kepada ayahanda. Terbayang saat aku dipanggil menghadap pengetua kerana MENGIKUT USRAH PMI di surau K5 pada tahun kedua pengajian. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui, perasaanku saat dipanggil bagaikan orang yang melakukan kesalahan besar kerana terlibat dengan PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UPM. Sebelum itu, aku telah dipanggil menghadap Presiden MTM Kolej Kelima pada jam 12 tengah malam di bilik mesyuarat MTM. Beberapa hari selepas itu, felo pula teruja untuk bertemu denganku. Pada waktu malam juga. Aku dengan degilnya, enggan menemui felo atas alasan aku tak sihat. Telefon berdering dan felo mencabarku bahawa dia akan naik ke bilik jika aku enggan bertemu dia. Aku persilakan dengan baik.

Rupa-rupanya, dia juga takut untuk menyerbu dan menggeledah bilikku. Telefon berdering kembali dan dia terus mengugutku, seandainya aku enggan keluar dari PMI dan terus-terusan terlibat dengan PMI dengan sukacitanya, aku akan dibuang kolej. Aku terima dengan lapang dada dan bertawakkal pada Allah. Saat itu aku mula merasai betapa hebatnya penderitaan yang dihadapi Nabi s.a.w ketika kafir Quraisy ingin membunuh Nabi. Betapa benci dan bermusuhnya mereka terhadap orang yang ingin menyebarkan agama Allah ini.

Ugutan demi ugutan aku terima dari pihak MTM dan felo. Setiap gerak geriku pasti diperhatikan. Seandainya aku bertembung dengan MTM pasti ada saje teguran sinis dari mereka. Kesabaran kuperkuatkan dan kata-kata taujih dari sahabat-sahabat sentiasa kuingati. Mesej demi mesej kuterima daripada sahabat-sahabat memberikanku semangat dan keyakinan untuk terus kuat dan yakin dengan perjuangan suci ini. “Terima kasih atas kekuatan yang kalian berikan.”

Ketika di bilik pengetua, hanya aku seorang perempuan bagaikan pesalah. Dan aku terpaksa berhadapan dengan pengetua, presiden mtm dan 2 felo lelaki. Aku hanya diam membisu seribu bahasa. Dalam hati, terus berzikir dan berserah diri pada-Nya. Terasa manis dan nikmatnya apabila menerima tarbiyyah dan ujian terus dari-Nya. Selepas itu, aku dapat keluar dari bilik pengetua dengan lapang dada dan tersenyum. Bagaikan hembusan ketenangan dari Yang Maha Penyayang dihembus ke dalam dada dan hatiku. Tulisan ini bukan untuk membangga, hanya sekadar berkongsi pengalaman dengan sahabat-sahabat, agar terus berjuang dengan penuh keberanian dan keyakinan. Hanya Allah yang perlu ditakuti dan digeruni, jangan sekali-kali merasa takut pada manusia.
Ketika pilihan raya kampus, kawan sebilikku dipanggil untuk bertanya sama ada aku masuk bertanding atau tidak. Rupa-rupanya, mereka takut aku bertanding atas tiket PMI. Begitu sekali mereka takut dengan budak PMI. Mereka terus menyoal sahabatku tentang keterlibatanku dengan PMI. Ugutan melalui mesej kuterima sebelum pilihan raya agar aku tidak masuk bertanding.

Beberapa bulan selepas itu, berita mengenai presiden kolej kelima terdengar di cuping telinga ini. Dia terlibat dalam kemalangan jalan raya. Dia terpaksa mengambil cuti beberapa minggu. Hilang taring dia yang selama ini memusuhi budak-budak PMI. Allah Maha Adil dan Pengasih Penyayang kepada hamba-hamba-Nya yang berjuang menegakkan agama suci ini. Sesekali Allah takkan membiarkan hamba-hamba-Nya menderita buat selamanya. Yakinlah dengan janji-janji Allah kepada orang yang menolong agama-NYA.

Tahun akhir, kami bertiga dibuang kolej. Tapi kuasa Allah mengubah segalanya. Kami telah membuat rayuan dan dapat berada di kolej sehingga tamat pengajian. Dan kini Alhamdulillah, aku dapat masuk kembali ke kolej kelima untuk menyambung pengajian di peringkat Master. Staf yang bekerja di pejabat k5 memberitahu bahawa pengetua tidak mengetahui aku membuat permohonan untuk menetap di k5. Hanya kakak itu yang mengetahui dan dia menolongku serta sempat membisikkan jangan melibatkan diri lagi dengan PMIUPM. Dalam hatiku berjanji bahawa akan terus menyebarkan agama Allah ini kepada adik-adik yang bakal menjadi pembela agama Allah pada masa akan datang walau menerima ugutan lagi. Syukur Allah menolong dan mempermudahkan segala urusan.

Teringat kata-kata Zainab al-Ghazali, “Aku tidak meletakkan harapan kepada sesiapa, melainkan kepada Allah. Hatiku bulat berserah kepada Allah Taala.”

Semoga Allah menetapkan hati-hati kita untuk terus istiqamah membela dan meninggikan agama-Nya. Ini hanya cebisan kisahku untuk dikongsikan dengan sahabat-sahabat agar terus bersemangat berjuang untuk Islam kerana Allah.

Saturday, January 2, 2010

ADIK-ADIK PRO-M UPM



TERUS BERJUANG WAHAI ADIK-ADIKKU

DEMI ISLAM TERCINTA.. KERANA ALLAH

JIHAD JALAN JUANG KAMI

SYAHID DI JALAN ALLAH CITA-CITA KAMI TERTINGGI