Saturday, July 31, 2010

Wabak sepanjang jalan dakwah

Tajuk buku : Wabak sepanjang jalan (jilid 1)

Pengarang : Dr Al Syed Muhammad Noh


Buku ini membincangkan tentang penyakit atau wabak yang sering menyerang para 'amilin(pejuang) gerakan islam. Masalah dalaman ini sentiasa mengganggu gugat perjalanan gerakan islam. Ianya berpunca dari tindak tanduk para pendukung islam yang tidak komited dan gagal mempersiapkan diri sebagai pendukung islam.


Wabak pertama : Al Futur


Tahap al futur yang paling rendah ialah malas, menangguh-nangguh, melengah-lengahkan dan tahap yang paling tinggi ialah berhenti terus atau diam sesudah bergerak cergas secara berterusan


Sebab-sebab berlaku al futur:

i. sikap keterlaluan dalam agama

ii. membazir dan melampaui batasan menggunakan sesuatu yg diharuskan

iii. meninggalkan jemaah dan memilih hidup berseorangan

iv. kurang mengingati mati dan akhirat

v. pengabaian melakukan ibadat harian

vi. mengambil makanan yang haram atau syubhah

vii. penumpuan 'amilin ke atas sudut tertentu dari ajaran islam

viii. gagal memahami sunnatullah tentang alam dan penghidupan

ix. mengabaikan hak tubuh badan kerana bebanan tugas dan tanggungjawab di samping kekurangan tenaga 'amilin

x. tidak bersedia menghadapi halangan dan cabaran dalam perjuangan

xi. mendampingi golongan yang tidak berjiwa besar

xii. sambil lewa menjalankan tugas sama ada di peringkat individu atau di peringkat jemaah

xiii. terlibat dengan perbuatan jahat dan maksiat terutamanya melakukan dosa kecil serta memandangnya sebagai remeh


Wabak kedua : Pemborosan



Pembaziran ialah perbuatan yang melampaui batas kesederhanaan sama ada dalam perkara makanan, minuman, pakaian dan lain-lain.


Kesan ke atas para 'amilin

i. badan dihinggapi penyakit

ii. keras hati

iii. lembab daya pemikiran

iv. rangsangan melakukan kejahatan dan dosa

v. kecundang di saat-saat genting dan mencabar

vi. tidak menjaga dan mengambil berat terhadap org lain

vii. ditanya di hadapan Allah SWT di akhirat

viii. terlibat dengan pendapatan haram

ix. menjadi saudara syaitan

x. terhalang dari kasih syg Allah




Wabak ketiga : Al Isti’jal (gopoh atau terburu-buru)

Keinginan untuk mengubah realiti penghidupan masa kini dalam sekelip mata atau kurang dari sekelip mata tanpa menilai kesan buruk yang akan berlaku dan tidak memahami suasana persekitaran





Wabak keempat : Al Uzlah(memencilkan diri)


Mengutamakan penghidupan secara berseorangan dengan meninggalkan penghidupan secara berjemaah





Wabak kelima : Al I’jab bil nafsi (terpesona dengan diri sendiri)


Suatu kegembiraan terhadap diri sendiri, hasil dari apa yg dilakukannya sama ada perbuatan tanpa menyinggung org lain,tanpa mengambil kira perkataan dan perbuatan tadi baik atau buruk, terpuji atau terkeji.





Wabak keenam : Al Ghurur


Kekaguman seorang 'amilin terhadap dirinya sendiri sehingga mendorongnya ke tahap menghina dan memperkecilkan apa yang diusahakan org lain yang menyerupai apa yang ia sedang lakukan. Namun, sikapnya itu tidaklah sampai ke tahap memperlekehkan peribadi saingannya





Wabak ketujuh : Al Takabbur


Seseorang 'amilin itu menonjolkan kebesaran ke atas dirinya dalam bentuk menghina org lain dan memperlekehkan kewibawaan mereka. Di samping itu, ia dengan angkuh menolak untuk menerima kebenaran dari orang lain.



sumber: iluvislam

Thursday, July 29, 2010

Hanya Pada Allah

Sesuatu pekerjaan yang kita buat, bila diniatkan ikhlas kerana Allah akan menjadi ibadat di sisi Allah. Insya Allah, Allah permudahkan walau sukar sekalipun.

Betulkan niat dan ikhlaskan hati dalam segala amal perbuatan.

Yakinlah wahai para mujahid mujahidah, kesusahan dan penderitaan yang kita tanggung ini hanya seketika.

Bersabarlah senafas untuk mengecapi kejayaan pada masa akan datang.

Untuk keluarga, umat Islam dan agama Islam tercinta.

Ya Allah, hanya Engkau mengetahui sukarnya untuk menyiapkan tesis master ini.

Permudahkan kami untuk mendapatkan bahan-bahan rujukan.

Permudahkan kami untuk menanggung bebanan ini.

Permudahkan Ya Rabb.

Hanya Engkau tempat kami memohon pertolongan dan belas kasihan.

Ameen.

Saturday, July 24, 2010

kata-kata terindah kepada para muslimat

19 HADITH MENGENAI WANITA
www.iLuvislam.com
oleh: firerose


. Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayangnya yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah s.a.w. akan hal tersebut, jawab Baginda s.a.w., "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia".

2. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah s.w.t. mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan

3. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah s.w.t. mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah s.w.t.

4. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

5. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

6. Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah s.w.t. memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah s.w.t.

7. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah s.w.t. dan orang yang takutkan Allah s.w.t., akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

8. Barangsiapa membawa hadiah, (barang makanan dari pasar ke rumah lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah). Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

9. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah s.w.t. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).

10. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.

11. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 lelaki yang soleh.

12. Aisyah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab Rasulullah s.a.w., "Suaminya". "Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah s.a.w, "Ibunya".

13. Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

14. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga sembahyang dan puasanya.

15. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

16. Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.

17. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Nabi s.a.w) di dalam syurga.

18. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya syurga.

19. Daripada Aisyah r.a. "Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuan lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka."





Sekian, Wallahu a'lam.


Koleksi Artikel iLuvislam.com

Tuesday, July 13, 2010

Kata-kata Ibrahim ibn Adham

Pada suatu hari bertemu Ibrahim ibn Adham dengan seorang laki-laki
dalam tempat tawaf.

Maka kata Ibrahim ibn Adham, "Hai laki-laki, tiada engkau sampai kepada darjat segala salihin melainkan dengan engkau perbuat enam perkara.
Pertama-tama menutupkan pintu nikmat dan membukakan pintu kesukaran.
Kedua, menutupkan pintu kemuliaan dan membukakan pintu kehinaan.
Ketiga, menutupkan pintu kesentosaan dan membukakan pintu kedukaan.
Keempat, menutupkan pintu kekayaan dan membukakan pintu kepapaan.
Kelima, menutupkan pintu tidur dan membukakan pintu jaga.
Keenam, menutupkan pintu berlanjut-lanjutan bicara dan membukakan pintu daripada segeranya maut."

Saturday, July 3, 2010

Rezeki Allah swt

Sedutan Kuliah YB Ustaz Muhammad Mustafa

Rezeki Allah swt


Kita masih lagi membicarakan tajuk Rezeki Allah swt kepada kita semua. Bagaimana pula kita boleh memanfaatkan rezeki yang diberi oleh Allah swt ini kepada kita semua, supaya kita mampu mengatasi masalah kemiskinan diri. Rezeki yang kita terima ini juga boleh mempersiapkan diri kita ketika kebangkitan kita di akhirat nanti.
Rezeki ialah satu pemberian Allah swt, iaitu satu istilah ke atas keperluan manusia untuk keperluan hidupnya, kerana tanpa rezeki manusia ini tidak boleh hidup. Kalau tidak ada rezeki maka matilah dia. Allah taala telah tulis atau peruntukan bajet rezeki sejak dari dalam perut ibu lagi. Allah swt telah peruntukkan bermacam-macam rezeki dengan bajetnya sekian banyak. Allah swt memberi rezeki, lebih dari keperluan hidupnya.


Kenal hakikat diri sendiri

Istilah rezeki ini mengikut hakikat manusia itu sendiri. Manusia ini ialah dua dalam satu, iaitu roh dan jasad. Sebab itu dalam ilmu kerohanian, salah satu perkara besar yang kita perlu belajar ialah mengenal diri sendiri. Mengenal diri atau berkenalan dengan diri kita sendiri, supaya kita kenal diri, kenal hakikat diri kita setara mana, status kita, asal kejadian, setakat mana hak diri kita dan keperluan kita. Dengan itu barulah kita menjadi orang yang berjaya menggunakan diri dengan adil terhadap diri sendiri dan tidak zalim kepada diri sendiri.

Maka kalau tidak kenal diri, maka berkemungkinan berlaku penyalahgunaan diri sendiri. Jika diri sendiri pun tidak pandai menggunakan dirinya sendiri, manfaatkan dirinya, bagaimana dia boleh memanfaatkan dirinya kepada orang lain. Bagaimana dia hendak tunaikan hak orang lain sedangkan hak dirinya sendiri pun dia tidak tunaikan. Allah swt telah mengamanahkan kita sebagai tuan diri kita sendiri dan amanah ini perlu kita tunaikan.

Terlebih awal, kita perlu sedar dan kenal siapa diri kita.
Mengenal diri ini bukanlah susah sangat, tetapi kalau tidak diambil peduli hal ini, akibatnya kita mungkin merasa kita membuat diri kita sendiri atau jadi dengan sendirinya. Kalau kita mencipta diri kita sendiri, kita tidak akan menjadikan sakit atau sama sekali kita tidak menjadikan mati. Berpanjanganlah muda, kita tidak menjadi tua. Oleh itu, jika berlaku juga perkara yang kita tidak suka, ini menunjukkan bahawa bukan kita yang membuat diri kita sendiri.
Kita ciptaan Allah taala. Maka kita wajib ingat dan seterusnya memikirkan bahawa apa tujuannya Allah menciptakan diri kita, mesti ada tujuan.

Tujuan manusia dicipta Allah swt
Firman Allah, surah Adz Dzariyat 51: 56 dan ingatlah Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.
Kita dan jin diciptakan untuk menjadi hamba kepada Allah swt, buat apa yang Allah swt suruh dan tinggalkan apa yang Allah swt larang. Itulah tujuannya ciptaan kita, bukan mengikut rasa kehendak kita. Allah swt jadikan kita hamba-Nya, buat yang Dia suruh, tinggalkan yang Dia larang, buat kerja dengan Allah swt dan Allah akan membayar segala amalan kita semua.

Di dunia sekarang ini ramai orang cari kerja, pergi sana sini, sebenarnya bukan dia cari kerja tapi cari wang. Malangnya kalau tanpa kerja, kita tidak dapat wang. Sebenarnya kita tidak payah cari kerja, kerana kita telah disediakan dengan kerja.
Kerja dengan siapa? Kerja dengan Allah swt yang mencipta kita. Apa pekerjaannya? Hanya dua pekerjaan sahaja, tidak susah.

Pertama, kita telah dilantik oleh Allah Taala dari akhir baligh ( sampai umur, cukup akal) dan disahkan dalam jawatannya sebagai Hamba Allah. Orang yang telah disahkan dalam jawatan dipanggil mukkallaf. Itulah pekerjaan kita hak yang asal dan dengan pekerjaan inilah kita akan dihisab untuk menentukan masa depan kita oleh Allah swt sebagai Hamba Allah, menjaga amanah Allah dan amanah bagi diri kita.

Kedua, kita juga disahkan dalam jawatan sebagai Khalifah Allah swt di atas bumi Allah swt ini.
Itulah dua tugas hakiki kita yang disediakan oleh Allah swt, iaitu Hamba Allah swt dan Khalifah Allah swt. Tugas Khalifah Allah swt ialah menjaga amanah Allah swt. Allah swt telah mengamanahkan kita untuk menjaga keluarga. Contohnya seorang ibu, selain daripada menjadi hamba Allah swt, dia juga perlu menjaga anaknya dari mengandung lagi, semasa menyusukannya, memelihara dari kecil sampai besar dengan menanggung berbagai kesusahan. Semuanya ini adalah pekerjaan tabiinya, asal dan merupakan pekerjaan dengan Allah swt. Pekerjaan ini semuanya akan dibayar oleh Allah swt.

Mengikut sistem gaji kerajaan Allah swt, orang perempuan mendapat gaji besar daripada lelaki sebab dia bekerja lebih dengan menyediakan makan minum dan kemudahan rumahtangga untuk kehidupan keluarga. Sistem bayaran kerajaan Allah swt tidak serupa dengan sistem gaji JPA, yang mengikut pangkat untuk mendapat gaji besar. Sistem gaji kerajaan Allah taala bergantung kepada beratnya kerja dan usahanya. Kalau pangkat tinggi sekalipun kalau kerja sedikit, maka sedikitlah bayarannya.

Hadith sahih yang bermaksud:
Bayaran atau ganjaran itu yang dipanggil pahala adalah mengikut penat lelah seseorang.”

Bayaran dibuat mengikut susah payah tidak mengikut pangkat, lebih penat lelahnya kerana Allah swt, maka bayaran yang diterima lebih besar lagi walaupun pangkatnya kecil.

Jadi, kalau dibandingkan kerja orang lelaki dan orang perempuan, dilihat dari satu segi, penat lagi orang perempuan.

Pertama, tanggungjawab sebagai isteri, Allah swt bayar jawatannya sebagai isteri. Mengikut Islam, isteri tidak bertanggungjawab menyediakan makanan bagi orang lelaki. Orang lelakilah yang harus menyediakannya melalui orang gaji. Itu pada asalnya, tapi mengikut adat orang Melayu, isteri yang menyediakan. Oleh itu semua pekerjaan dilakukan di dapur Tuhan akan bayar, pekerjaan bermula dari pagi hingga selesai. Hal lain pula seperti mengandung, mengasuh anak dan menyusukan anak hinggakan tidak tidur malam, semua ada bayaran. Begitulah seterusnya semua kerja bermula dari bangun tidur hingga tidur kembali ada bayarannya, mengikut penat lelah seseorang.

Tuan-tuan dan puan-puan semua,
sabarlah senafas, selepas ini, kita akan jadi senang. Kalau kita melakukan tanggungjawab kita dengan Allah swt dengan betul dan lengkap, kita akan senang buat selama-lamanya bermula dari alam kubur lagi.

Nabi bersabda: “Sesungguhnya kubur itu adalah salah satu dari taman syurga atau salah satu lubang dari lubang-lubang neraka”.

Kubur ini tidak jauh mana lagi dengan kita, umur kita sudah tinggal sedikit. Buatlah bersungguh-sungguh, umurpun tidak banyak lagi, jangan membazir masa. Mereka tidak berasa susah hati, padahal tanggungjawabnya, jawatannya sebagai hamba Allah swt merangkap khalifah Allah swt, membazir masa, duduk saja, perlu bekerja dan kena ada perancangan.

Kalau dibandingkan pekerjaan dengan ‘Government servant’ ada masa kerja, masa rehat, walaupun kerja dari pukul 8 pagi hingga 4 petang, dia betul-betul buat kerja kerana dibayar gaji. Ini adalah hamba kerajaan, hamba Allah swt sepatutnya lebih-lebih lagi perlu bekerja bersungguh-sungguh sebab Allah swt akan bayar gaji sepenuhnya selepas mati nanti.

Allah swt berfirman bermaksud, As-Sajdah 32: 17; maka tidak ada seorang pun yang mengetahui satu-persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.

Seseorang itu tidak mengetahui tentang kesenangan kehidupan di alam ghaib yang dirahsiakan oleh Allah swt untuk kita semua. Ini sebagai balasan kepada amalan-amalan kepada apa yang telah dikerjakannya. Itulah rahsia kehidupan akhirat selepas kehidupan dunia.

Bersabarlah sebentar, biarlah kita bersusah dahulu tetapi bersenang-senang kemudian. Jangan kita bersenang-senang dahulu, selepas itu susah pula.

Beribadat kepada Allah swt sepenuh masa

Ada 9 perkara yang perlu diamalkan dalam pekerjaan supaya membolehkan kita beribadat kepada Allah swt sepenuh masa dan mendapat pahala belaka. Dari bangun tidur hingga tidur kembali tiada satu saat pun masa kita dibazirkan, disebab masa kita tidak banyak lagi. Membazir masa ini adalah satu jenayah, pengkhianat kepada diri sendiri, sama ada membazir masa tengok TV, bermain haji, membuat kerja tidak berfaedah. Semua ini merupakan khianat kepada amanah Allah swt. Ramai orang Melayu khianat dalam bab masa.

Walaupun kita sudah hidup berpuluh-puluh tahun, tetapi pengurusan masa masih tidak berjalan baik, maka akan rosak dan punah umurnya. Oleh itu, baki umur yang ada dan hanya sedikit sahaja lagi, perlu diuruskan masa itu dengan baik dan ingat pesanan ini untuk menjadikan kita layak dan bekerja sebagai hamba Allah swt sepenuh masa. Jangan sekali membazir masa.

Cara supaya kita menjadi hamba Allah swt sepenuh masa ialah :

1. Beriman sepenuh masa kepada Allah swt

2. Berniat untuk membuat perkara baik

3. Pekerjaan dibuat mengikut syariat

4. Membuat pekerjaan pahala berganda
-menuntut ilmu
-sembahyang berjemaah
-membaca Al-Quran
-Istighfar
-Menolong ibu tunggal, anak yatim dan orang miskin

Hadis Rasulullah saw, “Orang yang membantu ibu tunggal (armalah) dan orang-orang miskin, (termasuk anak yatim) pahala yang Allah swt berikan ialah seperti pejuang Islam yang pergi ke medan perang kerana Allah swt dan juga seperti dia bersolat sepenuh malam dan puasa sepenuh hari.”

Hadis Nabi saw bermaksud: “Perjalanan kamu membantu saudaranya, lebih baik dari ia beriktikaf di masjidku ini, selama sebulan.”

5. membuat amalan secara berterusan

6. membuat 3 perkara amalan besar
Mempersiapkan diri agar boleh membuat 3 perkara amalan besar yang dikatakan oleh Nabi Muhammad saw.

Nabi saw berkata, “Apabila seseorang anak Adam itu mati maka putuslah amalannya kecuali tiga perkara; ilmu yang memberi manfaat, anak yang soleh dan sedekah jariah.”

7 . jauh dari melakukan dosa-dosa besar
-syirik
-derhaka kepada kedua ibu bapa
-saksi palsu

8.membatalkan iman

-murtad
-syirik
-riak
-ujub
-mengungkit semula perkara-perkara atau amalan-amalan yang dibuat pada masa lepas, di samping menyakiti hati seseorang. Contoh: semasa dia tolong dahulu dia ikhlas. Tetapi akhirnya jadi tidak ikhlas, tolong bukan kerana Allah swt, dia menolong kerana kepentingan lain, itu sebab dibangkit semula, hinggakan melukakan hati orang itu

9. Berdoa kepada Allah swt