Monday, September 27, 2010

MENCARI HIKMAH DI MUKA BUMI ALLAH

Setiap kejadian yang berlaku di muka bumi dalam kekuasaan dan pentadbiran Allah Taala. Manusia hanya makhluk yang lemah, hina, daif, fakir dan serba kekurangan di sisi Allah. Syawal kali ini disambut penuh kesyukuran dan keinsafan kerana masih dipanjangkan umur untuk beribadat dan menyembah-Nya. Tujuan manusia diciptakan adalah untuk beribadat kepada Allah Taala.

Catatan ringkas kepada pembaca blog SERAMBI MEKAH ingin kukongsikan. Kisah saudara kami yang hidup dalam serba kesusahan. Si ayah bekerja sebagai buruh bangunan manakala si ibu suri rumah sepenuh masa. Memiliki 12 orang anak iaitu sedozen."Allah bagi rezeki anak-anak ramai walaupun rezeki duit kurang tapi syukur alhamdulillah." Mak Cik menjawab persoalanku apabila ditanya berapa orang anaknya. Hidup penuh kesabaran dan ketabahan membesarkan 12 orang anak. Hasil kesabaran si ayah dan si ibu berjaya melahirkan anak-anak yang cemerlang dan memiliki akhlak yang mulia. Seorang demi seorang anak-anak berjaya dengan cemerlang dan kini rezeki yang dikurniakan Allah Taala kepada mereka semakin mencurah-curah. Ketenangan dan kepuasan terpancar pada wajah mereka kerana berjaya membesarkan 12 orang anak. Bukan sesuatu yang mudah untuk membesarkan 12 orang anak namun berkat kesabaran, doa, tawakal dan keyakinan pada Allah, insya Allah semuanya berjaya.

Terlintas persoalan yang ingin kukongsikan kepada sahabat-sahabat. Pada pandangan setengah orang bekerja sebagai suri rumah tidak mempunyai kedudukan tinggi di sisi masyarakat. Malah, mereka dicemuh kerana tidak bekerja dan dikatakan pula pemalas. Sedangkan di sisi Islam sebenarnya betapa mulia dan tinggi Islam meletakkan tanggungjawab kepada para wanita untuk mengandung, melahir, menyusu, membesar dan mendidik anak-anak serta menguruskan rumahtangga. Para lelaki sepatutnya yang dipertanggungjawabkan keluar rumah mencari rezeki untuk keluarga. Namun, sedih sekali masyarakat kini melihat tugas mengurus rumahtangga patut diberi kepada orang gaji. Dan jika wanita hanya bekerja sebagai suri rumah, pasti dipandang hina, serong dan rendah. Masyarakat kini meletakkan nilai material (kewangan) melebihi nilai kasih sayang, didikan dan perhatian kepada anak-anak. Sebab itu, jika dilihat pada zaman kini banyak berlaku kes keruntuhan akhlak, jenayah, rogol, bunuh yang semakin bertambah dari sehari ke sehari. Bukan berkurangan jenayah di bumi ini malah makin bertambah dan tiada penyelesaian.

Jadi di mana silapnya? Ayuh! kita mencari punca permasalahan. Kesibukan ibu bapa mengejar harta dunia menyebabkan anak-anak terabai dan kekurangan kasih sayang. Jadi, lahirlah anak-anak yang ketandusan nilai kasih sayang dan pendidikan agama yang seharusnya bermula dari rumah iaitu rumahku, syurgaku (baiti jannati).

Semasa menghadiri perkahwinan seorang sahabat muslimin beberapa bulan yang lalu, kami sempat berbincang mengenai dunia harakah Islam dan sekitar isu semasa yang berlaku kini. Sahabat muslimin ini bekerja sebagai guru di sebuah matrikulasi Sarawak dan isterinya baru menamatkan pengajian di kampus UPM. Sedikit sebanyak kami kagum kerana muslimin ini bercita-cita untuk membina baitul muslim yang sebenar seperti yang digariskan Islam. Isterinya tidak dibenarkan bekerja dan ingin menjadikannya suri rumah sepenuh masa. Beberapa orang sahabat kami yang memiliki ijazah yang melayakkan mereka untuk mendapat pekerjaan dan kedudukan yang tinggi, namun pilihan mereka untuk menjadi suri rumahtangga sepenuh masa demi melahir dan mendidik anak-anak dengan tangan sendiri. Itulah sebenar yang Islam kehendaki untuk melahirkan ummah yang berjaya. Barulah umat Islam yang dilahirkan benar-benar berjaya. Tuan Sabariah iaitu isteri Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, kisahnya dalam buku “Bidadari dari Timur” membesarkan 10 orang anak dengan tangannya sendiri. Kagum dan teruja membaca kisah sayap kiri perjuangan Menteri Besar Kelantan itu. Namun, tidak dinafikan untuk wanita keluar bekerja membantu suami. Islam membenarkannya namun jangan sampai anak-anak dan rumahtangga terabai.

Insya Allah, jika kerukunan rumahtangga benar-benar dijaga dan dipelihara, pasti lahir anak-anak yang cemerlang iaitu khalifah di bumi, bakal pemimpin masa depan negara dan para pendokong Islam.