Wednesday, August 19, 2009

Kelebihan kaum hawa

Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga

kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-

pintu yang ia kehendakinya - Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar.

Saturday, July 25, 2009

Sahabat, kami menyayangimu..

Syukur Alhamdulillah pada-Nya kerana hari ini aku menerima mesej dari sahabat yang sudah lama tidak kedengaran khabar beritanya. “Izah, nak tanya ni, dah ada ke sahabat2 yang jadi ajk makanan untuk tamrin akan datang?”

Alhamdulillah, kakak ini menawarkan diri untuk membantu sahabat-sahabat. Berbanding sebelum ini, mesej yang dibalas sepi tanpa jawapan. Tertunggu-tunggu kami mengharap pertolongan. Akhirnya, mesej dihantar kepada adik-adik baru mengharap pertolongan.

Terus dibalas. “Okey! Boleh” tanpa perlu menunggu lama. Aku kagum dengan semangat perjuangan dan pemikiran baru adik-adik. Semoga semangat yang ada terus mengalir di jalan dakwah ini sehingga ke akhir hayat.

Aku membalas mesej kakak itu. “Alhmadulillah dah ada adik-adik yang jadi ajk makanan. Kenapa kak?” ..”Saje Tanya, Alhamdulillah dah ada yang membantu.”

Pengajaran yang ingin kusampaikan, bersangka baik setiap masa dan sayangilah sahabat kita walaupun dia sudah lama menyepi di jalan perjuangan ini. Siapa tahu dengan izin Allah, sahabat kita akan bangkit lebih hebat daripada kita dalam membela agama Allah satu hari nanti. Dan tidak mustahil kita pula menjadi sebaliknya. Oleh itu, ingatlah dalam setiap gerak kerja yang kita lakukan, kita akan sentiasa dinilai dan diawasi oleh Yang Maha Pencipta. Setiap amal perbuatan ikhlaskan kerana Allah semata-mata. Semoga dijauhkan dari perkara-perkara yang boleh menghalang kemenangan Islam.

Baitul Muslim



















Mahligai kasih abang Long dan Kak Salma


















Gerbang perkahwinan Abang Nik dan Kak Raihan





















Baitul Muslim Kak Ngah dan Abang Man







Nabi Musa bertemu jodoh di Kota Madyan


BERKATALAH dia (Syuaib): “Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan kamu dengan salah seorang daripada kedua anakku ini, atas dasar bahawa kamu bekerja denganku lapan tahun dan jika kamu cukupkan sepuluh tahun maka itu adalah (suatu kebaikan) daripada kamu, maka aku tidak hendak memberkati kamu.

Dan kamu insya-Allah akan mendapatiku termasuk orang- orang yang baik. (al-Qashash: 27).
PADA suatu hari, apabila tiba di Madyan, Nabi Musa telah menolong dua orang gadis mengambil air untuk kambing-kambing gembalaan mereka. Nabi Musa kasihan melihat gadis itu menunggu giliran untuk mengambil air kerana terlalu ramai lelaki di situ. Lalu, kedua anak perempuan itu pulang dan menceritakan akan hal itu kepada bapa mereka.
Bapa mereka menyuruh salah seorang daripada anaknya menemui Nabi Musa dan menjemputnya ke rumah. Maka, anaknya itu menemui Nabi Musa untuk menjemputnya ke rumah mereka.

Apabila tiba di rumah mereka, Nabi Musa disambut oleh bapa kedua-dua gadis itu. Bapa mereka mahu Nabi Musa menceritakan tentang dirinya. Maka, Nabi Musa menceritakan segala-galanya dan beliau kemudiannya diminta tinggal di rumah itu.
Tinggallah Nabi Musa di situ dan kehidupan beliau di situ sangat tenang dan bahagia. Hubungan Nabi Musa dan mereka juga semakin rapat.

Salah seorang anak perempuannya mahu Musa bekerja dengan mereka.
“Wahai ayah, elok sungguh sekiranya kita mengambil lelaki itu bekerja dengan kita. Dia banyak membantu kita dan juga seorang yang sangat kuat,” kata anak perempuannya.
“Baiklah anakku,” jawab ayahnya acuh tidak acuh.
Bapanya faham sangat akan perasaan anaknya itu.
Pada suatu pagi, bapa mereka telah memanggil Nabi Musa. Dia mahu bertanya akan hajatnya kepada Musa.

“Wahai Musa, aku mempunyai cita-cita untuk mengahwinkan engkau dengan salah seorang daripada anakku. Aku harap kamu dapat menemaninya dan menolongku. Bekerjalah kamu di sini menggembalakan kambing selama lapan tahun lamanya, sebagai mas kahwin untuk anakku. Sekiranya kamu suka, tambahlah dua tahun lagi. Itu bergantung kepada kesanggupanmu,” kata bapa gadis tersebut.

“Saya terima apa yang dihajati. Saya berjanji akan turut mana-mana keinginanmu sama ada lapan atau 10 tahun lamanya. Allah akan menjadi saksi atas perjanjian kita ini,” kata Musa.

Dengan perkahwinan itu, Nabi Musa hidup bahagia kerana mendapat isteri yang cantik dan mentua yang baik. Nabi Musa bekerja keras bagi memenuhi janji yang telah ditetapkan.
Walaupun beliau bahagia dengan kehidupannya tetapi telah tiba masanya untuk pulang ke Mesir. Setelah perjanjian bersama dengan mentuanya tamat. Nabi Musa bersama isterinya berangkat pulang ke Mesir. Nabi Musa meninggalkan mentuanya yang sudah tua. Baginda berdoa semoga selamat sampai ke destinasi. Baginda turut berdoa semoga Allah memelihara keluarga isterinya itu.


PENGAJARAN

* Apabila kita berjanji, hendaklah kita menunaikannya.
* Hendaklah kita menolong orang yang berada di dalam kesusahan.

Sunday, July 12, 2009

IBADAT UMRAH

Perjalanan kami mengerjakan ibadat umrah bermula pada 30hb Mei dan selamat kembali ke tanah air pada 11hb Jun. Syukur pada Allah yang telah memilih kami yang serba kekurangan ini untuk menjadi tetamu-Nya. Terima kasih ma abah kerana dengan murah hati membawa kami tiga beradik bersama-sama mengerjakan umrah. Niat ibuku untuk membawa kami ke tanah suci akhirnya menjadi kenyataan. Alhamdulillah dengan izin-Nya kami dapat menjejakkan kaki julung-julung kalinya ke tanah suci.

Kami bertolak dari Malaysia pada pukul 1.00 tengahari dan selamat tiba di lapangan terbang Madinah pada pukul 5.30 petang. Perjalanan selama 9 jam membuatkan kami berasa tidak sabar-sabar lagi untuk melihat keindahan bumi suci sebagaimana yang diceritakan oleh jemaah haji dan ditonton dalam tv. Mata kami sekejap-kejap pandang ke luar tingkap melihat keindahan bumi Allah. Subhanallah sangat cantik melihat bumi Allah.

Kapal terbang Arab Saudi Airlines yang kami naiki sangat besar dan dapat menampung ramai penumpang pada satu-satu masa. Dianggarkan seramai 450 orang yang menaiki kapal terbang tersebut. Makanan yang disediakan di atas kapal terbang separuh masak menyebabkan ramai penumpang yang muntah ketika kapal terbang hendak mendarat. Di samping itu, ketika pendaratan berlaku sedikit gegaran membuatkan perut beralun dan seterusnya muntah. Termasuk diriku yang lemah ini. Habis semua makanan yang dimakan muntah. Terdengar penumpang di belakang, kiri dan depanku muntah. Samalah semua. Cuaca panas juga mula terasa.

Alhamdulillah kami berada di Madinah selama 2 hari dan di Mekah 9 hari. Kami menginap di hotel yang sangat bagus dan selesa. Boleh dikatakan bertaraf empat bintang. Di Madinah, kebanyakan hotel besar. Makanan juga sedap kerana masakan orang Patani.

Pertama kali menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi, terasa kerdilnya diri ini. Subhanallah…sangat cantik dan indah. Teruja dan tidak sabar untuk masuk ke dalam masjid. Sebelum melangkah masuk ke Masjid Nabawi, beg kami perlu diperiksa. Masya Allah.. kalimah pertama menutur di bibir saat memandang dan meneroka ke dalam masjid. Sangat luas dan besar. Botol air yang sentiasa di dalam beg, kami isi dengan air zam-zam. Seterusnya, mengambil tempat ke dalam masjid. Laungan azan bergema kuat. Syahdunya..

Bacaan imam benar-benar menusuk hati kami di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. Bacaan mereka sangat merdu dan jelas. “Ya Allah, gembiranya dapat solat di masjid-masjid ini yang pernah Nabi dan para sahabat solat di dalamnya.” Gembira melihat ramainya umat manusia berduyun-duyun ke masjid setiap kali waktu solat. Pertama kali aku tengok muslimin yang berlari-lari kerana mengejar solat berjemaah. Manakala muslimat pula melajukan langkah untuk mendapatkan pahala berjemaah. Alangkah indahnya jika keadaan tersebut berlaku di Malaysia.

Pada malam pertama, kami dapat melihat bumbung Masjid Nabawi bergerak. Cantik sungguh dan dapat melihat bumbung langit pada waktu malam dihiasi bintang dari dalam masjid. Subhanallah, masya Allah..indahnya.

Hari pertama kami di Madinah, kami dibawa melawat sekitar Masjid Nabawi. Antaranya, pasar-pasar di tepi masjid, perkuburan Baqi’ dan masjid-masjid dahulu yang tidak digunakan lagi. Pembinaan sedang dilakukan di sekitar masjid, pintu yang selalu jemaah muslimat masuk, ditutup untuk pembaikan. Jadi, kami masuk melalui pintu yang jauh ke belakang. Hari kedua, pagi-pagi lagi kami menaiki bas melawat Masjid Quba’, Masjid Qiblatain, pasar kurma, kubur isteri Nabi s.a.w dan ladang kurma.

Selepas solat Zohor, kami bertolak ke Mekah dengan tiga buah bas. Dalam perjalanan, kami singgah untuk solat Asar. Sangat cantik masjid tersebut. Perjalanan memakan masa selama 5 jam. Selawat dan zikir kami alunkan perlahan-lahan. Kami tiba di Mekah pada pukul 10.30 malam. Selepas makan malam, kami terus mengangkat beg-beg ke dalam bilik. Seterusnya, kami perlu tidur awal agar dapat mengerjakan ibadat umrah dengan baik pada esoknya. Ada sebilangan jemaah yang terus mengerjakan ibadat umrah ( tawaf dan saie ) pada malam tersebut. Kuatnya badan mereka tapi kepenatan juga..sampai-sampai terus mengerjakan umrah.

Ramai juga jemaah kami yang membawa anak-anak kecil untuk mengerjakan umrah. Satu keluarga, empat atau lima orang anak yang turut dibawa. Alhamdulillah. Ada yang emak mereka tak boleh berjalan, mereka bergilir-gilir tolak dengan kerusi roda. Gigihnya mak cik dan anak-anaknya. Terdapat juga jemaah kami yang sindrom down, turut sama mengerjakan ibadat.

Satu peristiwa yang menyentuh hatiku adalah melihat peminta-peminta sedekah kanak-kanak yang dipotong kedua-dua belah tangannya. Cukup menyayat hati di tengah-tengah cuaca yang panas terik mereka duduk berlutut di sekitar masjidil haram, di tempat pembinaan. Kenapa kerajaan Arab tidak mengambil tindakan untuk menjaga rakyat mereka..Kanak-kanak tersebut merupakan orang Arab kulit hitam yang hidup susah. Tak ada siapa yang menghulurkan sedekah.

Sahabat-sahabat nak tau, aku bertemu dengan Syaza mmk kpz di hadapan Masjidil Haram ketika nak melangkah masuk Syaza menegurku. Subhanallah, di kalangan berjuta-juta umat manusia, Allah mempertemukan kami. Syukur pada-Nya. Syaza juga datang bersama keluarganya.

Setiap kali selepas solat fardhu, kami akan mengerjakan solat jenazah. Setiap waktu pasti ada solat jenazah. Pelbagai bangsa kami dapat bertemu di sana. Kami mengerjakan ibadat tawaf dan saie pada waktu pagi kerana di saat itu tidak ramai orang berbanding waktu malam.

Masyarakat Arab sangat dermawan. Selepas solat pasti ada sedekah makanan. Orang kita panggil sabilillah atau ‘sabil’. Di tepi jalan, selepas subuh kami menerima sebuku roti bulat yang besar dari pak syeikh arab. Sebelum ini, kami pernah menerima seplastik besar nasi Arab dan kurma. Makanan kat sana sangat mewah dan sedap-sedap. Orang Arab terkenal dengan sifatnya yang sangat memuliakan tetamu. Ketika kami ke pasar, pasti Pak Arab bersalam dan berdakap dengan abah dan adikku. Sangat memuliakan tetamu jika dibandingkan dengan penjual-penjual di Malaysia. “Malaysia bagus”, ungkapan itu yang dituturkan Pak Arab untuk menarik pelanggannya. Namun, Pak Arab jenis tidak sabar, di jalan-jalan raya sering kedengaran hon-hon kereta yang tidak henti-henti. Kenderaan yang dipandu juga laju. Aku perhatikan tiada wanita Arab yang memandu kenderaan. Semua lelaki Arab. Wanita Arab tidak dibenarkan keluar bebas tidak seperti wanita di Negara kita.

Hari terakhir kami di sana terasa sangat syahdu, sayu, sedih dan berat hati untuk meninggalkan bumi Mekah. Kami bertolak selepas waktu Asar ke lapangan terbang Jeddah. Sepanjang perjalanan, kami dapat melihat bumi Jeddah yang disirami lampu-lampu yang sangat cantik. Mewahnya Negara Arab ni, ya negaranya merupakan Negara yang kaya. Hasil bumi utamanya adalah minyak.

“Ya Allah, pilih dan jemput kami kembali menjadi tetamu-Mu di tanah suci ini.” Ketika kapal mencecah ruang udara, terasa diri ini telah jatuh cinta pada bumi Mekah. Syukur pada-Mu Ya Rabb. Kerinduan pasti menggamit kami kembali untuk ke sana. Insya Allah.

Saturday, July 11, 2009

Sambung Pengajian..alhamdulillah.

Alhamdulillah..

Syukur pada Yang Maha Esa dapat kukembali menjejakkan kaki ke bumi UPM setelah dua bulan bercuti. Pengajian Master semester pertama 2009/2010 bermula pada hari Jumaat 10hb Julai 2009. Kelas kami hanya hujung minggu iaitu hari Jumaat dan Sabtu. Alhamdulillah hari lain ku berkesempatan menjaga kedai PMIUPM.

Besar harapan abah yang benar-benar bercita-cita untuk melihat anak perempuannya ini menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi lagi. “Insya Allah abah, kak jah akan berusaha sedaya upaya untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi”. Janjiku sungguh-sungguh. Kakakku pun tidak putus-putus memberi semangat dan dorongan kepadaku. Macam-macam nasihat diberikannya.

Dua abang dan dua kakakku semua dah bekerja. Alhamdulillah. Aku dan adik bongsuku, Aiman yang tingkatan empat masih menuntut. Semoga Allah menolong dan mempermudahkan urusan kami setiap masa dan ketika.

“Ya Allah, aku tak nak terpinggir dalam perjuangan menegakkan agama-MU. Semoga usahaku ini dapat melahirkan lebih ramai intelektual muslim dalam jemaah Islam dan seterusnya menolong dan mengukuhkan jemaah Islam serta ummah.” Aku tak nak menyambung pelajaran untuk mendapat gaji yang tinggi untuk kepentingan diri dan keluarga semata-mata, namun lebih jauh lagi ingin kusumbangkan untuk jemaah Islam dan fakir miskin yang memerlukan.

Aku pernah terbaca buku jutawan internet muda, Irfan Khairi. Doa yang sentiasa dipanjatkannya; “Ya Allah, jadikanlah aku seperti air yang sentiasa mengalir tenang di sungai yang menghilangkan dahaga kepada semua orang pada setiap hari” Bukan mudah untuk mencapai kejayaan dan kebahagiaan melainkan dengan usaha keras yang tidak pernah jemu dan berputus asa. Matlamat yang jelas dan tetap kita tuju dengan hati yang suci bersih mengharap dan mendamba pertolongan-Nya. Hanya orang yang berusaha akan mendapat hasilnya.

“Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya Kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” ( al-Nahl: 97 )

“Kekuatan dan motivasi yang cukup kuat adalah kembali dan ingatlah kepada Allah dan Rasulullah s.a.w.” kata Kak Basitah ketika kami sama-sama satu usrah dahulu dengan Kak Aida Ros. Pengorbanan Nabi s.a.w dan para sahabat serta para syuhada’ dalam menegakkan Islam di muka bumi ini tidak dapat disamakan dengan pengorbanan kita. Kesusahan yang kita alami hanya secebis. Sering kuingatkan diri ini tatkala rasa lemah. Semoga Allah memilih kami untuk sentiasa mendapat redha dan rahmat dari-Nya. Ameen.


Cahaya Kemuliaan.

Saturday, June 20, 2009

UMRAH..SATU PROSES PENYUCIAN JIWA.


ladang kurma

masjid Quba



maha suci Allah

Thursday, May 28, 2009

Sanaa’, doktor pakar dan pendakwah

Menyeru manusia ke jalan Allah bukanlah satu tugas atau peranan yang dikhususkan kepada golongan bernama ustaz, ustazah, pensyarah, lebai, imam dan sebagainya, tetapi ia dipertanggungjawabkan ke atas seluruh umat Islam. Tanpa mengira latar belakang pendidikan atau kerjaya, maka golongan seperti polis, tentera , jurutera, doctor turut terlibat dalam kerja-kerja dakwah.
Inilah jalan yang cuba difahamkan oleh pengasas Gerakan Ikhwanul Muslimin, Imam Syahid Hassan alBanna kepada seluruh umat Islam walau di mana mereka berada. Almarhum melakukan penggemblengen tenaga oleh pelbagai individu untuk berada dalam satu saf bagi merealisasikan tuntutan sebaik-baik umat dengan menjalankan amar makruf dan nahi mungkar.
Demikianlah sahutan yang dibuat oleh Dr Sanaa’ Abu Zaid, salah seorang anggota Ikhwan Muslimin yang memilih jalan akhirat dalam perjuangan hidupnya, bersusah-susah untuk memastikan agar ramai manusia menerima Islam sebagai cara hidup sempurna. Sedangkan bagi orang lain, gelaran doctor perubatan boleh buat duit, sama ada menerima bayaran gaji yang tinggi atau membuka klinik peribadi yang boleh mendatangkan pendapatan lumayan.

Latar belakang kehidupan Dr Sanaa’

Beliau dilahirkan pada 10 Safar 1371H/ 9 November 1951M di Kampung Kufr an-Nikman dalam mukim Maiyit Ghmar wilayah ad-Daqahliyyah.
Mendapat pendidikan awal di kampungnya dan juga peringkat menengah, kemudian menyambung pelajaran di Fakulti Perubatan dan Pembedahan Universiti Qasr al-Aini Kaherah tahun akhir pada 1976 dengan mendapat keputusan cemerlang. Pada 1981 menyambung pelajaran di peringkat MA dalam bidang Perubatan Kanak-kanak di Universiti Kaherah.
Berkahwin dengan Dr. Samihah Khalil Hassan dan dikurniakan enam anak. Isterinya meninggal dunia akibat sakit, kemudian beliau berkahwin dengan Nadiah Faruq dan diaugerahkan dengan tiga orang cahaya mata. Dr. Sanaa’ adalah anak ketiga daripada Sembilan adik beradik, tiga lelaki dan enam perempuan serta memiliki lapan orang cucu.

Memulakan kerjaya sebagai pendakwah

Dr Sanaa’ menjadikan tugas menyeru manusia ke jalan Allah (tugas dakwah) adalah yang pertama setelah selesai menamatkan pengajian. Walaupun mendapat tawaran pekerjaan di Kementerian Kesihatan Mesir dengan pendapatan lumayan sebagai doctor pakar bedah kanak-kanak dan pembedahan, beliau tidak memikirkan mengenainya, malah memfokuskan kecenderungan kepada arena dakwah secara serius.
Sebagai perkara rutin dalam agenda harian Dr Sanaa’, beliau menghubungkan diri kepada Allah SWT sebelum memulakan apa jua tugas dan pekerjaan pada waktu pagi. Setelah selesai solat subuh, beliau akan duduk untuk beberapa ketika bagi menghabiskan pembacaan al-Quran, berzikir Ma’thurat, solat Dhuha dan lain-lain sebagai memohon restu dan izin Allah agar menerima segala apa yang dilakukan pada hari itu.
Ia juga adalah amalan yang dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w iaitu bertemu dengan Allah terlebih dahulu sebelum berurusan dengan manusia. Pada waktu malam pula bermunajat kepada Allah agar diberi kekuatan untuk melaksanakan tugas sebgai muslim yang menyeru manusia ke jalan Allah atau ‘Amar Makruf dan Nahi Mungkar.
Dr Sanaa’ adalah antara golongan doctor terawal yang pernah bertugas di Persatuan Perubatan Islam dan pengasas cawangan tersebut di daerah Sayidatina Zainab, Kaherah dan terlibat secara sukarela mengajar subjek sains di sebuah sekolah rakyat khususnya untuk anak-anak pinggir Bandar yang miskin tanpa diberikan kepadanya kerana sekolah berkenaan amat memerlukan guru yang ikhlas.

Minat mendalam terhadap agama

Menurut kakak sulungnya Fatimah, adiknya Dr Sanaa’ sejak kecil amat minat untuk ke masjid bagi menunaikan solat fardu lima waktu secara jemaah dan mendengar penjelasan penceramah mengenai ilmu-ilmu fardu ain. Walaupun sebagai kanak-kanak tumpuan kepada pembelajaran tidak difokuskan, beliau seperti kanak-kanak lain yang datang ke masjid menjerit sana sini, namun boleh berdiam jika ditegur oleh orang masjid.
“Kami tidak peduli itu semua, yang penting adik kami Sanaa’ suka ke masjid dan ia menunjukkan petanda awal minatnya mendalam tentang agama. Justeru, kami sering beri dorongan kepadanya untuk terus ke masjid, kami yakin satu hari nanti dia akan jadi manusia yang berguna untuk agama, masyarakat dan Negara,”tegas Fatimah.
Kerajinannya yang sering ke masjid. Maka beliau disukai oleh orang-orang masjid pada usia yang terlalu muda, begitu juga di kalangan ahli keluarga. Dia amat menghormati perintah kedua ibu dan bapa, menghormati kakak-kakak dan abang-abangnya serta menyayangi adik-adik, jiran tetangga, guru-guru dan sahabat handai, ia adalah terjemahan sikap positif daripada pengajaran akhlak yang disemai oleh ahli keluarga dan orang-orang masjid.
Fatimah selanjutnya menjelaskan, bahawa beliau mengalami masa-masa suram kerana kehilangan ibu, ayah, suami, anak perempuan, tetapi yang paling sedih apabila berita kematian adik saya Sanaa’, bagaikan tidak dapat menerima berita kematiannya, kerana seluruh hidupnya diabadikan untuk perjuangan Islam,pemilihannya untuk bersama Gerakan Ikhwan Muslimin adalah tepat tatkala majority manusia sudah hilang pegangan dan kepercayaan terhadap Islam, saya bersyukur adik saya dipelihara Allah.

Dr Sanaa’ menurut pandangan isteri

Sejak saya berkahwin dengannya, saya telah melihat dengan mata sendiri bagaimana Dr Sanaa’ adalah seorang suami yang amat mentaati perintah-perintah Allah. Saya bahagia hidup dengannya, pernah suatu hari beliau berkata kepada saya bahawa saya adalah seorang isteri yang diperlukan bagi membantu kerja-kerja dakwah. Saya menyifatkannya bukan sahaja sebagai seorang ayah, motivator, pendidik atau seorang saudara yang banyak memberi motivasi untuk hidup bersama Islam.
Walaupun beliau pernah kehilangan isterinya yang pertama, kebaikannya sering diceritakan kepada saya agar saya mengambil mana-mana yang baik untuk dijadikan sebagai pendorong kepada kerja-kerja dakwah Islam. Anak-anak suami bersama isteri pertama bagaikan anak-anak saya juga, tidak ada perasaan sebagai seorang ibu tiri, kerana kami semua ditarbiyah mengikut acuan al-Quran, hadis Nabi Muhammad saw, dan Sirah baginda.
Dr Sanaa’ juga amat menitikberatkan ketepatan menunaikan janji, pada masa yang sama menjaga kepentingan para pesakit di bawah pengawasannya dengan sebaik-baiknya. Di samping berdakwah kepada mereka betapa Allah swt yang mencipta sakit dan DIA juga yang menyembuhkan penyakit, itulah kata-kata yang sering dilontarkan kepada pesakitnya bahawa hidup dan mati adalah ujian daripada Allah, hidup mesti berbakti untuk menegakkan syiar agama-Nya.
Pesanan Dr Sanaa’ kepada anak-anaknya: Jadilah kamu manusia di kalangan hamba-hamba Allah yang menghubungkan diri kepada-NYA, peliharalah hubungan itu dengan sebaik-baiknya, penuhilah kehidupan dengan nasihat, tunjuk ajar ke jalan kebenaran, buktikan penampilan diri dengan akhlak-akhlak yang mulia pada setiap detik dan ketika, beramallah dengan amalan-amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah melalui pembacaan, penghafazan, penghayatan dengan al-Quran serta hadis-hadis baginda Rasulullah saw, lakukan solat secara berjemaah dan insya Allah hidup penuh dengan ketenangan dan kedamaian.”
Seperkara lagi yang dirasakan penting, di mana Almarhum DR Sanaa’ sering menyeru ahli keluarganya untuk menghidupkan sunnah Rasulullah dalam segenap agenda hidup sejak mencelikkan mata di waktu pagi hinggalah pada waktu memejamkan mata untuk masuk tidur, beliau juga sering berdoa: “Ya Allah! Janganlah Engkau matikan kami dalam keadaan memarahi kami, dan janganlah hancurkan kami dengan seksaan-MU.”
Dari sudut tarbiyah pula, Dr Sanaa’ menterjemahkan kaedah yang diasaskan oleh Imam Hassan alBanna dalam menjelaskan kesyumulan Islam di samping pandangan-pandangan bernas pimpinan Ikhwan yang banyak menjadi inspirasi kepadanya seperti Syeikh Muhammad al-Ghazali, Ustaz Mustafa Masyhur, Syeikh Umar Tilmasani dan Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qardawi.
-sumber: ikhwanonline.com