Saturday, April 10, 2010

Hidayah Allah

Teringat kata-kata naqibahku dahulu, "sebaik mana pun kita, apabila hidayah Allah tak sampai, sampai bila-bila Allah tak akan pilih kita sebagai ahli-Nya iaitu penolong dan pendokong agama-Nya. Namun, walau sejahat mana pun kita, apabila hidayah Allah tiba, DIA akan pilih kita sebagai ahli-Nya."

Mengimbau kisah Abu Talib yang sangat baik membantu Nabi s.a.w menyebarkan kalimah Allah, namun hidayah Allah tak sampai kepadanya, dia tidak masuk Islam sehingga akhir hayatnya. Namun, Allah memberi hidayah kepada Umar al-Khattab yang membunuh anak perempuan hidup-hidup dan sangat menentang Islam. Beliau masuk Islam setelah mendengar bacaan al-Quran yang dialunkan oleh adiknya dan terus menemui Nabi untuk mengucap kalimah syahadah. Betapa Allah Maha Pengasih Penyayang kepada hamba-Nya.

Kita perlu berusaha keras bagi memperoleh hidayah Allah. Begitu juga untuk mendapat keredhaan Allah dan syurga Allah serta mati syahid di jalan-Nya. Kita perlu bermujahadah, bekerja, berkorban dan berjihad untuk memperoleh kesenangan di akhirat sana.Ameen.

Semoga Allah memilih kita sebagai kekasih-NYa, penolong agama-NYA dan penghuni syurga-Nya kelak. Ameen.

Thursday, April 1, 2010

Meniti Hari Bahagiaku..Selamat Bertunang

Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.


Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.
Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.
Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.


Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.


"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"


Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."


"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."


"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."


Ibu angguk perlahan.


Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.


Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.


"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"


Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.


"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."


Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.


"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"


Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.


"Bila enti menikah?"


Aku tiada jawapan khusus.


"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.


"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah.


"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.


"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."


Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...


"Usah berlebihan ya..."


Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.


"Insyirah, jom makan!"


Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.


"Tafaddal, ana puasa."


Sahabiah juga semakin galak mengusik.


"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"


"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."


Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.


..........................


"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."


"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."

"Ya Allah, tenangnya..."


"Moga Allah memberkatinya...."


Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.


Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.


Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.


Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.


Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.


Dalam sedar tidak sedar...


Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.


"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."


Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...


"Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?"


Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."


"Allahuakbar..." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.


"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."


Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.


"Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."


"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."


Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.


........................................

"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu."

Saturday, March 27, 2010

TEMUDUGA TERBUKA!!!

SEMUA AKAN DIKEHENDAKI HADIR TANPA SEBARANG PENGECUALIAN

KEKOSONGAN JAWATAN:
A. Ahli Syurga Dari Awal.
B. Ahli Neraka Dari Awal.
C. Ahli Neraka Sementara Kemudian Akan Dilantik Jadi Ahli Syurga.

EMPAT GANJARAN LUMAYAN (khas untuk jawatan A):
1. Nikmat kubur.
2. Perlindungan di Padang Mahsyar.
3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
4. Syurga yang kekal abadi.

TARIKH TEMUDUGA:
Bila-bila masa secara adhoc bermula dari saat membaca iklan ini.

LOKASI TEMUDUGA:
Di dalam kubur (alam barzakh).

KELAYAKAN:
Anda tidak perlu bawa siji-sijil,termasuk sijil saham termasuk saham Internet.
Anda tidak perlu bawa pingat , Mercedes mata belalang atau kad kredit.
Anda tidak perlu bawa wang atau harta serta emas yang anda kumpul.
Anda tidak perlu berparas rupa yg cantik, hensem atau berbadan tegap atau seksi.
Sila bawa dokumen asal iaitu : Iman dan Amal serta sedekah jariah sebagai sokongan.

PANEL/PENEMUDUGA:
Mungkar dan Nakir.

ENAM SOALAN BOCOR:
1. Siapa Tuhan anda?
2. Apa Agama anda?
3. Siapa Nabi anda?
4. Apa Kitab anda?
5. Di mana Kiblat anda?
6. Siapa Saudara anda?

CARA MEMOHON:
Anda cuma perlu menunggu penjemput yang berkaliber untuk menjemput anda. Ia akan menjemput anda pada bila-bila masa saja (mungkin sekejap lagi). Ia akan berlembut kepada orang-orang tertentu dan akan bengis kepada orang-orang tertentu.

Ia diberi nama Izrail.

TIPS UNTUK BERJAYA DALAM TEMUDUGA TERTUTUP INI:
Hadis Hasan yang diriwayatkan oleh Ahmad Hanbal, yang bermaksud begini:
Sila war-warkan tawaran jawatan kosong ini kepada semua sahabat.


Semoga berjaya dalam temuduga ini.


sama2lah kita saling ingat mengingati bersama...


--
ﻪﺘﺎﻜﺮﺒﻮ ﷲﺍﺔﻤﺤﺭﻮ ﻡﻜﻴﻠﻋ ﻢﻼﺴﻠﺍ
Nikah Muda dan Bahagia
www.iluvislam.com
Editor:afdhal87

Begitu saja aku dengari suatu ayat-ayat Al Quran yang membuatkan aku tersentak!

Dan nikahkanlah orang-orang yang masih membujang di kalangan kamu dan juga orang-orang yang layak menikah di kalangan hamba sahaya kamu laki-laki dan perempuan, jika mereka miskin Allah akan memberi kemampuan kepada mereka dengan kurniaannya.Dan Allah maha Luas (Pemberiannya),lagi Maha Mengetahui (QS Annur :32)

Merupakan suatu perintah Allah agar segera menikahkan orang-orang yang masih bujang di kalangan kita.Bahkan seandainya kita termasuk golongan yang tidak mampu, jangan bimbang Allah swt sendiri akan memampukan kita.

Andai kita belum yakin dengan ayat Allah SWT perkataan apa lagi di dunia ini yang dapat menjadikan kita yakin terhadap sesuatu? Bahkan Rasullulah juga bersabda yang bermaksud:

“Carilah oleh kalian rezeki dalam pernikahan (dalam kehidupan berkeluarga) “
(Hadith riwayat Imam Ad Dhalani) dalam Musnad Al Firdaus

Dari Abu Hurairah r.a Rasulullah bersabda, “ 3 golongan yang akan selalu diberi pertolongan oleh Allah ialah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah swt ,seorang penulis yang selalu memberi penawar dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya” (Hadith riwayat Thabrani) dikeluarkan oleh Ibnu Abi Hatim, dari Ad Dur Al Mantsur.

Abu Bakar As Siddiq pernah berkata “ Taatlah kamu kepada Allah dalam apa yang diperintahkan kepadamu iaitu perkahwinan,maka Allah akan melestarikan janjiNYA kepadamu iaitu kekayaan".

Allah telah berfirman “Jika mereka miskin Allah akan memberi kemampuan kepada mereka dengan kurniaannya” (QS Annur:32)

Apa lagi alasan mereka yang telah diberi kesihatan tubuh badan ,keinginan yang kuat untuk bersama pasangan dan mempercayai Allah sebagai tuhan(ialah) untuk mengatakan diri ini belum memilih nikah sebagai jalan? Andai membujang itu suatu pilihan yang diberikan kepada mereka yang beriman.Maka ia adalah sesuatu yang dikategorikan sebagai kehinaan.

Rasullah bersabda lagi,Hadith Saad bin Abi Waqas berkata :
”Rasullulah saw melarang Uthman bin Mazun dari membujang,seandainya baginda merestuinya,pasti kami akan membujang" (Sahih Muslim)

Sabda baginda lagi: dari Anas ra, Rasullulah Al Ma’shum bersabda,
“Barangsiapa mempunyai anak perempuan yang telah mencapai umur 12tahun,lalu ia tidak segerakan mengahwinkannya kemudian anak perempuan tersebut melakukan dosanya di tanggung oleh ayahnya". (Hadith riwayat Baihaqi)

Ibnu Ma’ud pernah mengatakan, "Seandai tinggal sepuluh hari sahaja dari usiaku ,niscaya aku tetap ingin kahwin agar aku tidak menghadap Allah dalam keadaan masih bujang"

Sahabat-sahabat sekalian,seandainya mahu merenung akan hadith-hadith ini,maka apa lagi yang dinanti,berusahalah sedaya upaya kita untuk menikah.Kerana hadith yang menyuruh bernikah berbunyi:

Abdullah bin Mas’ud ra: diriwayatkan dari Al Qamah ra katanya:
"Aku berjalan-jalan di Mina bersama Abdullah ra yang kemudian menghampiri Abdullah ra. Setelah berbincang beberapa ketika,Othman ra bertanya,wahai abu abdul rahman;mahukah aku jodhohkan kamu dengan seorang perempuan muda? Mudah mudahan perempuan itu akan dapat mengigatkan kembali masa lampau mu yang indah"

Mendengar tawaran itu Abdullah ra menjawab;

"Apa yang kamu ucapkan itu adalah sejajar dengan apa yang pernah di sabdakan oleh rasullulah saw kepada kami "

"Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin,sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan.maka sesiapa yang tidak berkemampuan,hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu"
(Hadith riwayat Muslim)

Seandainya kita telah berusaha sedaya upaya,serahkanlah semuanya pada Allah.Dialah yang memberi rezeki.Bukanlah orang itu termasuk dalam golongan tidak mampu,seandainya dia terus membiarkan dirinya saja,tidak berbuat apa-apa lalu apabila ditanyakan kepadanya lalu dia menjawab TIDAK MAMPU.Akan tetapi seorang yang tidak mampu adalah mereka yang telah berusaha sekuat hati ,namun hasilnya tetap di tahan oleh Allah SWT sebagai ujian untuk dirinya.

Seorang saudara mengadukan dirinya yang masih kurang iman kepada sahabatnya,
"Saya rasa masih tidak kuat lagi untuk menikah” .

Jawab sahabatnya,
"Justeru kerana kamu masih belum kuat imanlah kamu harus menyegerakan nikah, kerana nikah itu menyempurnakan separuh dari agama "

Lantas di sebabkan iman kita yang kurang inilah kita harus segera bernikah.Bagaimana kalian sahabat-sahabatku? Luruskan niatmu , jangan bernikah kerana keSERONOKan di dalamnya,jangan pula kerana orang mengatakannya BAIK atau apa sebab lain pun selain dari
Aku nikah kerana ALLAH dan RASUL SURUH !

Dan carilah pernikahan yang barakah.Zainab bin Jashyi dan Zaid bin Harithah yang cukup kuat iman mereka pun bercerai akhirnya.Zaid anak angkat Nabi,kekasih nabi,panglima perang ,manakala Zainab,ummul mukminin, satu figura yang tidak mungkin ada kelemahan dari imannya, mungkinkah lagi keimanan mereka diragukan.Lantas sahabat semua serahkan segalanya pada Allah SWT.

Bahagia bukan terletak pada kesenangan hidup,banyaknya harta,indahnya pasangan dan sebagainya.Bahagia itu terletak pada, firman Allah

“ Dan diantara tanda-tanda(kebesaran)Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri,agar kamu cenderung dan berasa temteram kepadanya.Dan menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang”. (QS anRuum:21)

Monday, March 22, 2010

Bekerja keras untuk Islam

Assalamulaikum wrt


Bismillahirrahmanirrahim

Surah Al Insyiqaq , ayat 6,

يَاأَيُّهَا الْإِنْسَانُ إِنَّكَ كَادِحٌ إِلَى رَبِّكَ كَدْحًا فَمُلَاقِيهِ

Maksudnya, Wahai insan, sesungguhnya engkau bekerja dengan begitu
penat menuju Tuhanmu, maka pada akhirnya engkau tetap menemui Nya,”

Allah
Maha mengetahui semua keluh kesah dan rasa penat hamba-Nya. Allah tahu
segala keletihan hamba-Nya yang meredah pengembaraan hidup yang amat
mencabar. Allah tahu penat lelah kita memikul tanggungjawab. Di dunia
ini, kita tidak akan dapat mencapai kenikmatan tanpa kesungguhan
bekerja dan berusaha, sama ada kepenatan tubuh badan, bekerja kuat atau
kepenatan berfikir. Semuanya memang memenatkan. Kadang-kadang jerih
payah kita tu gagal membuahkan hasil, kita mungkin terjatuh di tengah
jalan. Tetapi kita tak perlu rasa sedih, Dia maha memahami dan
mengetahui segala perasaan dan keletihan hamba-hamba yang dicintai-Nya.
yakin lah hari pertemuan kita dgn Allah.

Yakin Islam akan menang satu hari nanti..takbir!

Monday, January 18, 2010

Merindui Jalan Perjuangan Nabi dan Para Syuhada'

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Katakanlah "Jika bapak-bapakmu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khuatirkan kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-NYA serta berjihad di jalan-Nya,maka tunggulah sAMpai Allah memberikan keputusan-NYA." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.

( At-Taubah : 24 )

Kemenangan yang paling besar adalah kita menemui Allah dalam keadaan kita berjuang menegakkan Agama-Nya.
Semoga Allah memilihku dan sahabat seperjuangan untuk mati syahid di jalan-Nya. Ameen.

Betapa kumerinduinya Ya Allah!

Saturday, January 16, 2010

Secebis kisah di jalan dakwah.

Tersentak seketika menerima mesej balas dari Pengetua Kolej Kelima hari ini. Asalnya, aku menghantar mesej kepada pengetua memberitahu bahawa tandas di blok Kelah telah berminggu-minggu rosak dan tidak boleh digunakan. “Buat laporan bertulis di pejabat kolej, saya sakit, mc.”

Aku terus membalas mesej bertanya ayahanda pengetua menghidap sakit apa. “Saya patah kaki.” Ringkas jawapannya. Aku terus membalas mesej bertanya. Rupa-rupanya ayahanda pengetua terlibat dalam kemalangan jalan raya pada bulan November dan kakinya telah disimen serta telah membuat pembedahan. Kini masih di hospital Johor Bahru.
Terbit rasa belas kasihan kepada ayahanda. Terbayang saat aku dipanggil menghadap pengetua kerana MENGIKUT USRAH PMI di surau K5 pada tahun kedua pengajian. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui, perasaanku saat dipanggil bagaikan orang yang melakukan kesalahan besar kerana terlibat dengan PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UPM. Sebelum itu, aku telah dipanggil menghadap Presiden MTM Kolej Kelima pada jam 12 tengah malam di bilik mesyuarat MTM. Beberapa hari selepas itu, felo pula teruja untuk bertemu denganku. Pada waktu malam juga. Aku dengan degilnya, enggan menemui felo atas alasan aku tak sihat. Telefon berdering dan felo mencabarku bahawa dia akan naik ke bilik jika aku enggan bertemu dia. Aku persilakan dengan baik.

Rupa-rupanya, dia juga takut untuk menyerbu dan menggeledah bilikku. Telefon berdering kembali dan dia terus mengugutku, seandainya aku enggan keluar dari PMI dan terus-terusan terlibat dengan PMI dengan sukacitanya, aku akan dibuang kolej. Aku terima dengan lapang dada dan bertawakkal pada Allah. Saat itu aku mula merasai betapa hebatnya penderitaan yang dihadapi Nabi s.a.w ketika kafir Quraisy ingin membunuh Nabi. Betapa benci dan bermusuhnya mereka terhadap orang yang ingin menyebarkan agama Allah ini.

Ugutan demi ugutan aku terima dari pihak MTM dan felo. Setiap gerak geriku pasti diperhatikan. Seandainya aku bertembung dengan MTM pasti ada saje teguran sinis dari mereka. Kesabaran kuperkuatkan dan kata-kata taujih dari sahabat-sahabat sentiasa kuingati. Mesej demi mesej kuterima daripada sahabat-sahabat memberikanku semangat dan keyakinan untuk terus kuat dan yakin dengan perjuangan suci ini. “Terima kasih atas kekuatan yang kalian berikan.”

Ketika di bilik pengetua, hanya aku seorang perempuan bagaikan pesalah. Dan aku terpaksa berhadapan dengan pengetua, presiden mtm dan 2 felo lelaki. Aku hanya diam membisu seribu bahasa. Dalam hati, terus berzikir dan berserah diri pada-Nya. Terasa manis dan nikmatnya apabila menerima tarbiyyah dan ujian terus dari-Nya. Selepas itu, aku dapat keluar dari bilik pengetua dengan lapang dada dan tersenyum. Bagaikan hembusan ketenangan dari Yang Maha Penyayang dihembus ke dalam dada dan hatiku. Tulisan ini bukan untuk membangga, hanya sekadar berkongsi pengalaman dengan sahabat-sahabat, agar terus berjuang dengan penuh keberanian dan keyakinan. Hanya Allah yang perlu ditakuti dan digeruni, jangan sekali-kali merasa takut pada manusia.
Ketika pilihan raya kampus, kawan sebilikku dipanggil untuk bertanya sama ada aku masuk bertanding atau tidak. Rupa-rupanya, mereka takut aku bertanding atas tiket PMI. Begitu sekali mereka takut dengan budak PMI. Mereka terus menyoal sahabatku tentang keterlibatanku dengan PMI. Ugutan melalui mesej kuterima sebelum pilihan raya agar aku tidak masuk bertanding.

Beberapa bulan selepas itu, berita mengenai presiden kolej kelima terdengar di cuping telinga ini. Dia terlibat dalam kemalangan jalan raya. Dia terpaksa mengambil cuti beberapa minggu. Hilang taring dia yang selama ini memusuhi budak-budak PMI. Allah Maha Adil dan Pengasih Penyayang kepada hamba-hamba-Nya yang berjuang menegakkan agama suci ini. Sesekali Allah takkan membiarkan hamba-hamba-Nya menderita buat selamanya. Yakinlah dengan janji-janji Allah kepada orang yang menolong agama-NYA.

Tahun akhir, kami bertiga dibuang kolej. Tapi kuasa Allah mengubah segalanya. Kami telah membuat rayuan dan dapat berada di kolej sehingga tamat pengajian. Dan kini Alhamdulillah, aku dapat masuk kembali ke kolej kelima untuk menyambung pengajian di peringkat Master. Staf yang bekerja di pejabat k5 memberitahu bahawa pengetua tidak mengetahui aku membuat permohonan untuk menetap di k5. Hanya kakak itu yang mengetahui dan dia menolongku serta sempat membisikkan jangan melibatkan diri lagi dengan PMIUPM. Dalam hatiku berjanji bahawa akan terus menyebarkan agama Allah ini kepada adik-adik yang bakal menjadi pembela agama Allah pada masa akan datang walau menerima ugutan lagi. Syukur Allah menolong dan mempermudahkan segala urusan.

Teringat kata-kata Zainab al-Ghazali, “Aku tidak meletakkan harapan kepada sesiapa, melainkan kepada Allah. Hatiku bulat berserah kepada Allah Taala.”

Semoga Allah menetapkan hati-hati kita untuk terus istiqamah membela dan meninggikan agama-Nya. Ini hanya cebisan kisahku untuk dikongsikan dengan sahabat-sahabat agar terus bersemangat berjuang untuk Islam kerana Allah.