Sunday, December 13, 2009

Coretan Pengalaman Bersama Adik-adik Nisa Puchong




Peluang pertama kali Nisa Puchong mengadakan Kem Penghayatan Islam dan Sains di Taman Sri Raudah, Gombak benar-benar memberi ilmu dan pengalaman baru kepada kami AJK Nisa Puchong. Seawal cuti sekolah, kem Nisa diadakan.

Selaut kesyukuran dipanjatkan kepada Ilahi kerana memberi ruang dan peluang kepada kami yang serba lemah dan kekurangan serta miskin jiwa dan harta ini untuk mengadakan program keagamaan bercorak lain dari kebiasaan.

Selama dua hari, satu malam bersama adik-adik remaja perempuan membuatkan jiwa dan mataku yang selama ini penat bekerja menaip tiap patah perkataan di laptop kesayanganku hampir setiap hari untuk menyiapkan Transliterasi Jawi Bustan al-Salatin Bab Lima akhirnya terubat. Syukur Alhamdulillah siap jua akhirnya tugasan pertama projek Masterku. Semoga Allah permudahkanku untuk langkah seterusnya menganalisis Teks Karangan Nuruddin al-Raniri yang memiliki Tujuh Bab kesemuanya. Dah kongsi cerita lain pulak ni.

Okey, sambung balik kisah kem Nisa yang julung-julung kali diadakan. Saya tak nak cerita kesusahan dan liku-liku kami menganjurkan kem tersebut kerana sudah lumrah setiap yang berjuang di jalan-Nya pasti diuji dengan susah dan payah yakni kemanisan di jalan dakwah. Saya nak coret dan kongsikan dengan sahabat-sahabat bahawa hampir keseluruhan program tersebut mencapai objektif yang ditetapkan. Respon yang baik dari adik-adik mengembirakan AJK Nisa dan ramai adik yang berharap agar Kem Penghayatan Islam dan Sains Kedua pula diadakan. Bukan adik-adik saja yang ingin kem kedua, malah kami sebagai AJK Nisa juga mengharapkan sama. Semoga gerak kerja akan datang dari Nisa khasnya akan lebih mantap dan diperkemaskan. Bukan mudah tapi tiada mustahil untuk melaksanakannya dengan perancangan rapi dan kebergantungan serta keyakinan yang kuat kepada-Nya.

Namun, objektif untuk melahirkan adik-adik yang benar-benar memahami dan beramal dengan apa yang diberikan bukan dapat dilaksanakan sekelip mata hasil kem selama dua hari. Penekanan terhadap solat yang sempurna dan berjemaah serta aurat. Biar adik-adik remaja perempuan dapat memahami dan beramal dengan dua perkara tersebut sahaja sudah memadai sebelum melangkah lebih jauh untuk menjadi insan kamil yang beriman dan bertaqwa.

Sudah menjadi kebiasaan remaja tidak gemarkan pengisian bercorak ceramah. Ketika ustazah menyampaikan tazkirah, sudah dapat dijangka pasti ada yang tidur, berbual dan bermain-main. Bagi mereka, biar ustazah cakap sorang-sorang kat depan. Hanya segelintir yang berminat, benar-benar fokus. Buktinya, apabila ditanya selepas tazkirah tidak ingat dan tidak tahu. Kesabaran kami perkuatkan ketika melayan karenah mereka.

Mereka lebih gemarkan program bercorak outdoor dan latihan dalam kumpulan. Tidak sabar-sabar untuk night walk dan jungle trekking. Betullah untuk menyampaikan sesuatu perkara mesti kena dengan cara dan minat mereka. Oleh itu, night walk di hujung perjalanan, kami adakan halaqah dan membaca surah al-mulk bersama-sama. Kami cuba sedaya upaya untuk memberi dan menyampaikan mesej agama Allah ini menurut kesesuaian dan minat mereka. Rancangan awal untuk memberi pengisian ketika jungle trekking, terpaksa dibatalkan memandangkan hujan renyai-renyai dan keselamatan mereka perlu dijaga dengan sebaiknya. Semoga usaha yang sedikit ini diterima sebagai amalan di sisi-Nya.

No comments: