Saturday, July 3, 2010

Rezeki Allah swt

Sedutan Kuliah YB Ustaz Muhammad Mustafa

Rezeki Allah swt


Kita masih lagi membicarakan tajuk Rezeki Allah swt kepada kita semua. Bagaimana pula kita boleh memanfaatkan rezeki yang diberi oleh Allah swt ini kepada kita semua, supaya kita mampu mengatasi masalah kemiskinan diri. Rezeki yang kita terima ini juga boleh mempersiapkan diri kita ketika kebangkitan kita di akhirat nanti.
Rezeki ialah satu pemberian Allah swt, iaitu satu istilah ke atas keperluan manusia untuk keperluan hidupnya, kerana tanpa rezeki manusia ini tidak boleh hidup. Kalau tidak ada rezeki maka matilah dia. Allah taala telah tulis atau peruntukan bajet rezeki sejak dari dalam perut ibu lagi. Allah swt telah peruntukkan bermacam-macam rezeki dengan bajetnya sekian banyak. Allah swt memberi rezeki, lebih dari keperluan hidupnya.


Kenal hakikat diri sendiri

Istilah rezeki ini mengikut hakikat manusia itu sendiri. Manusia ini ialah dua dalam satu, iaitu roh dan jasad. Sebab itu dalam ilmu kerohanian, salah satu perkara besar yang kita perlu belajar ialah mengenal diri sendiri. Mengenal diri atau berkenalan dengan diri kita sendiri, supaya kita kenal diri, kenal hakikat diri kita setara mana, status kita, asal kejadian, setakat mana hak diri kita dan keperluan kita. Dengan itu barulah kita menjadi orang yang berjaya menggunakan diri dengan adil terhadap diri sendiri dan tidak zalim kepada diri sendiri.

Maka kalau tidak kenal diri, maka berkemungkinan berlaku penyalahgunaan diri sendiri. Jika diri sendiri pun tidak pandai menggunakan dirinya sendiri, manfaatkan dirinya, bagaimana dia boleh memanfaatkan dirinya kepada orang lain. Bagaimana dia hendak tunaikan hak orang lain sedangkan hak dirinya sendiri pun dia tidak tunaikan. Allah swt telah mengamanahkan kita sebagai tuan diri kita sendiri dan amanah ini perlu kita tunaikan.

Terlebih awal, kita perlu sedar dan kenal siapa diri kita.
Mengenal diri ini bukanlah susah sangat, tetapi kalau tidak diambil peduli hal ini, akibatnya kita mungkin merasa kita membuat diri kita sendiri atau jadi dengan sendirinya. Kalau kita mencipta diri kita sendiri, kita tidak akan menjadikan sakit atau sama sekali kita tidak menjadikan mati. Berpanjanganlah muda, kita tidak menjadi tua. Oleh itu, jika berlaku juga perkara yang kita tidak suka, ini menunjukkan bahawa bukan kita yang membuat diri kita sendiri.
Kita ciptaan Allah taala. Maka kita wajib ingat dan seterusnya memikirkan bahawa apa tujuannya Allah menciptakan diri kita, mesti ada tujuan.

Tujuan manusia dicipta Allah swt
Firman Allah, surah Adz Dzariyat 51: 56 dan ingatlah Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.
Kita dan jin diciptakan untuk menjadi hamba kepada Allah swt, buat apa yang Allah swt suruh dan tinggalkan apa yang Allah swt larang. Itulah tujuannya ciptaan kita, bukan mengikut rasa kehendak kita. Allah swt jadikan kita hamba-Nya, buat yang Dia suruh, tinggalkan yang Dia larang, buat kerja dengan Allah swt dan Allah akan membayar segala amalan kita semua.

Di dunia sekarang ini ramai orang cari kerja, pergi sana sini, sebenarnya bukan dia cari kerja tapi cari wang. Malangnya kalau tanpa kerja, kita tidak dapat wang. Sebenarnya kita tidak payah cari kerja, kerana kita telah disediakan dengan kerja.
Kerja dengan siapa? Kerja dengan Allah swt yang mencipta kita. Apa pekerjaannya? Hanya dua pekerjaan sahaja, tidak susah.

Pertama, kita telah dilantik oleh Allah Taala dari akhir baligh ( sampai umur, cukup akal) dan disahkan dalam jawatannya sebagai Hamba Allah. Orang yang telah disahkan dalam jawatan dipanggil mukkallaf. Itulah pekerjaan kita hak yang asal dan dengan pekerjaan inilah kita akan dihisab untuk menentukan masa depan kita oleh Allah swt sebagai Hamba Allah, menjaga amanah Allah dan amanah bagi diri kita.

Kedua, kita juga disahkan dalam jawatan sebagai Khalifah Allah swt di atas bumi Allah swt ini.
Itulah dua tugas hakiki kita yang disediakan oleh Allah swt, iaitu Hamba Allah swt dan Khalifah Allah swt. Tugas Khalifah Allah swt ialah menjaga amanah Allah swt. Allah swt telah mengamanahkan kita untuk menjaga keluarga. Contohnya seorang ibu, selain daripada menjadi hamba Allah swt, dia juga perlu menjaga anaknya dari mengandung lagi, semasa menyusukannya, memelihara dari kecil sampai besar dengan menanggung berbagai kesusahan. Semuanya ini adalah pekerjaan tabiinya, asal dan merupakan pekerjaan dengan Allah swt. Pekerjaan ini semuanya akan dibayar oleh Allah swt.

Mengikut sistem gaji kerajaan Allah swt, orang perempuan mendapat gaji besar daripada lelaki sebab dia bekerja lebih dengan menyediakan makan minum dan kemudahan rumahtangga untuk kehidupan keluarga. Sistem bayaran kerajaan Allah swt tidak serupa dengan sistem gaji JPA, yang mengikut pangkat untuk mendapat gaji besar. Sistem gaji kerajaan Allah taala bergantung kepada beratnya kerja dan usahanya. Kalau pangkat tinggi sekalipun kalau kerja sedikit, maka sedikitlah bayarannya.

Hadith sahih yang bermaksud:
Bayaran atau ganjaran itu yang dipanggil pahala adalah mengikut penat lelah seseorang.”

Bayaran dibuat mengikut susah payah tidak mengikut pangkat, lebih penat lelahnya kerana Allah swt, maka bayaran yang diterima lebih besar lagi walaupun pangkatnya kecil.

Jadi, kalau dibandingkan kerja orang lelaki dan orang perempuan, dilihat dari satu segi, penat lagi orang perempuan.

Pertama, tanggungjawab sebagai isteri, Allah swt bayar jawatannya sebagai isteri. Mengikut Islam, isteri tidak bertanggungjawab menyediakan makanan bagi orang lelaki. Orang lelakilah yang harus menyediakannya melalui orang gaji. Itu pada asalnya, tapi mengikut adat orang Melayu, isteri yang menyediakan. Oleh itu semua pekerjaan dilakukan di dapur Tuhan akan bayar, pekerjaan bermula dari pagi hingga selesai. Hal lain pula seperti mengandung, mengasuh anak dan menyusukan anak hinggakan tidak tidur malam, semua ada bayaran. Begitulah seterusnya semua kerja bermula dari bangun tidur hingga tidur kembali ada bayarannya, mengikut penat lelah seseorang.

Tuan-tuan dan puan-puan semua,
sabarlah senafas, selepas ini, kita akan jadi senang. Kalau kita melakukan tanggungjawab kita dengan Allah swt dengan betul dan lengkap, kita akan senang buat selama-lamanya bermula dari alam kubur lagi.

Nabi bersabda: “Sesungguhnya kubur itu adalah salah satu dari taman syurga atau salah satu lubang dari lubang-lubang neraka”.

Kubur ini tidak jauh mana lagi dengan kita, umur kita sudah tinggal sedikit. Buatlah bersungguh-sungguh, umurpun tidak banyak lagi, jangan membazir masa. Mereka tidak berasa susah hati, padahal tanggungjawabnya, jawatannya sebagai hamba Allah swt merangkap khalifah Allah swt, membazir masa, duduk saja, perlu bekerja dan kena ada perancangan.

Kalau dibandingkan pekerjaan dengan ‘Government servant’ ada masa kerja, masa rehat, walaupun kerja dari pukul 8 pagi hingga 4 petang, dia betul-betul buat kerja kerana dibayar gaji. Ini adalah hamba kerajaan, hamba Allah swt sepatutnya lebih-lebih lagi perlu bekerja bersungguh-sungguh sebab Allah swt akan bayar gaji sepenuhnya selepas mati nanti.

Allah swt berfirman bermaksud, As-Sajdah 32: 17; maka tidak ada seorang pun yang mengetahui satu-persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.

Seseorang itu tidak mengetahui tentang kesenangan kehidupan di alam ghaib yang dirahsiakan oleh Allah swt untuk kita semua. Ini sebagai balasan kepada amalan-amalan kepada apa yang telah dikerjakannya. Itulah rahsia kehidupan akhirat selepas kehidupan dunia.

Bersabarlah sebentar, biarlah kita bersusah dahulu tetapi bersenang-senang kemudian. Jangan kita bersenang-senang dahulu, selepas itu susah pula.

Beribadat kepada Allah swt sepenuh masa

Ada 9 perkara yang perlu diamalkan dalam pekerjaan supaya membolehkan kita beribadat kepada Allah swt sepenuh masa dan mendapat pahala belaka. Dari bangun tidur hingga tidur kembali tiada satu saat pun masa kita dibazirkan, disebab masa kita tidak banyak lagi. Membazir masa ini adalah satu jenayah, pengkhianat kepada diri sendiri, sama ada membazir masa tengok TV, bermain haji, membuat kerja tidak berfaedah. Semua ini merupakan khianat kepada amanah Allah swt. Ramai orang Melayu khianat dalam bab masa.

Walaupun kita sudah hidup berpuluh-puluh tahun, tetapi pengurusan masa masih tidak berjalan baik, maka akan rosak dan punah umurnya. Oleh itu, baki umur yang ada dan hanya sedikit sahaja lagi, perlu diuruskan masa itu dengan baik dan ingat pesanan ini untuk menjadikan kita layak dan bekerja sebagai hamba Allah swt sepenuh masa. Jangan sekali membazir masa.

Cara supaya kita menjadi hamba Allah swt sepenuh masa ialah :

1. Beriman sepenuh masa kepada Allah swt

2. Berniat untuk membuat perkara baik

3. Pekerjaan dibuat mengikut syariat

4. Membuat pekerjaan pahala berganda
-menuntut ilmu
-sembahyang berjemaah
-membaca Al-Quran
-Istighfar
-Menolong ibu tunggal, anak yatim dan orang miskin

Hadis Rasulullah saw, “Orang yang membantu ibu tunggal (armalah) dan orang-orang miskin, (termasuk anak yatim) pahala yang Allah swt berikan ialah seperti pejuang Islam yang pergi ke medan perang kerana Allah swt dan juga seperti dia bersolat sepenuh malam dan puasa sepenuh hari.”

Hadis Nabi saw bermaksud: “Perjalanan kamu membantu saudaranya, lebih baik dari ia beriktikaf di masjidku ini, selama sebulan.”

5. membuat amalan secara berterusan

6. membuat 3 perkara amalan besar
Mempersiapkan diri agar boleh membuat 3 perkara amalan besar yang dikatakan oleh Nabi Muhammad saw.

Nabi saw berkata, “Apabila seseorang anak Adam itu mati maka putuslah amalannya kecuali tiga perkara; ilmu yang memberi manfaat, anak yang soleh dan sedekah jariah.”

7 . jauh dari melakukan dosa-dosa besar
-syirik
-derhaka kepada kedua ibu bapa
-saksi palsu

8.membatalkan iman

-murtad
-syirik
-riak
-ujub
-mengungkit semula perkara-perkara atau amalan-amalan yang dibuat pada masa lepas, di samping menyakiti hati seseorang. Contoh: semasa dia tolong dahulu dia ikhlas. Tetapi akhirnya jadi tidak ikhlas, tolong bukan kerana Allah swt, dia menolong kerana kepentingan lain, itu sebab dibangkit semula, hinggakan melukakan hati orang itu

9. Berdoa kepada Allah swt

No comments: