Sudah lama mata ini tidak mengalirkan air mata. Entah kenapa susah sangat semenjak dua menjak ini untuk aku mengalirkan air mata mengenangkan dosa lalu. Mungkin hati ini lalai dan keras dari mengingati mati dan kehidupan akhirat. Sering dalam doaku memohon,
“ Ya Allah, kurniakan kami dua mata yang menangis kerana takutkan-Mu Ya Allah, Amin Ya Rabbal ‘Alamin”.
Semalam, syukur pada-Nya akhirnya air mataku tumpah jua. Kesakitan yang kutanggung menyebabkan air mata ini menitis jua tanpa dapat dikawal. Musibah menimpaku pada petang tersebut. Semua di luar kawalan dan berlaku sekelip mata saja. Diri yang hina ini terjatuh dari tangga bas kerana terpijak kain. Aku seolah-olah melayang jatuh ke bawah, mujur Allah masih memelihara diri dan kehormatanku. Aku jatuh terduduk di tangga kedua bas. Sakitnya hanya Allah Yang Lebih Mengetahui. Ditambah malu kerana pelajar-pelajar lelaki fakultiku yang berada di depan pintu bas. “Ya Allah, pelihara diriku” . Ku bangun menapak perlahan-lahan menahan kesakitan ini menuju ke Food Court dan selesai membeli makanan terus menuju ke surau KTP bagi memenuhi janji dengan adik-adik untuk mengadakan usrah. Janji perlu dipenuhi.
Ujian yang aku hadapi hanya secebis dari ujian-ujian yang menimpa Nabi dan para sahabat. Tak boleh ditandingi keperitan dan kesusahan yang mereka hadapi untuk menyebarkan agama Allah. Sahabat-sahabat seperjuanganku lebih teruk menerima ujian. Kemalangan terbabas motosikal, patah gigi, luka berdarah di kaki dan tangan dan berjahit. Inilah sunnah orang berjuang. Sesungguhnya Allah menguji hanba-Nya yang kuat dan tabah. Seandainya hamba-Nya tidak mampu, DIA tidak akan menguji-Nya. Segalanya ada hikmat dan terletak pada pengetahuan-Nya. Sakit dan sengal-sengal mula mencucuk-cucuk di seluruh belakang badan terutama di pinggang di saat ini akibat komplikasi semalam. Ku teruskan jua menaip untuk berkongsi cerita dengan sahabat-sahabat.
Insya Allah malam esok aku akan balik ke kampung untuk mengurut. Doakanku sahabat agar tiada tulang yang patah. Hempasan sangat kuat di tangga bas menyebabkan rasa fobia untuk melangkah turun tangga bas. Semoga selepas ini aku lebih berhati-hati dalam setiap tindakan.