Friday, February 13, 2009

Amal kerana Allah.

Apa yang terlintas di pemikiran dan tercetus di lubuk hatiku, terus kucoret. Semoga yang tercatit ini dapatku terjemahkan melalui perbuatan dan amalanku seharian. Semester akhir pengajianku ini tidak menghalangku untuk mencantas sedikit pergerakan dalam gerak kerja Islam, berjuang mesti terus walau dalam apa jua situasi. Ma dan kakak tidak putus-putus memberi nasihat kepadaku supaya mengurangkan keaktifanku dalam persatuan. Mereka sudah maklum benar keterlibatanku secara aktif dan proaktif di kampus, malah di sekolah lagi. Lafaz kalimah Insya Allah kututurkan kepada mereka untuk menyedapkan hati mereka. Kini, kucuba sedaya mungkin untuk mengatur dan membahagikan masa yang ada ini dengan sebaik mungkin, walaupun sering kelelahan dalam perjalanan hidup yang masih panjang. Semoga kelelahan yang cuma sedikit ini menjadi bukti di hadapan-Nya nanti. Insya ALLAH.

Semester ini usrahku dan adik-adik kolej Tun Perak dan Kelima berjalan lancar. Semoga Allah terus mengurniakan kesihatan yang baik kepada kami untuk melaksanakan amanah yang besar ini. Syukur pada-Nya memberi peluang dan ruang kepadaku untuk berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman yang secebis ini. Setiap kali berjumpa mereka, rasa sayang dan kasih memuncak. Allah mempertemukan kami di jalan dakwah, gembira hati ini tidak terkira. Semoga amal yang sedikit ini, Allah terima sebagai bukti kecintaanku kepada-Nya dan Agama-Nya.

No comments: