Saturday, April 17, 2010

Wahai adik-adikku..

Langkahku atur satu persatu sekembali dari solat berjemaah di surau kolej kelima. Syukur Alhamdulillah, Allah masih memanjangkan nyawaku hingga ke hari ini dan dapat mengimarahkan surau kolej yang hanya 5 minit sahaja berjalan kaki dengan langkah perlahan yang hanya bersebelahan blokku.

Aku melalui jalan biasa, salamku hulurkan kepada pasangan couple seperti selalunya. ‘Aah’ hatiku berdetik, ‘adik ini’. Mereka jawab salamku dengan senyuman. “Kak Izah, jap ye, tak lama, nak naik dah ni.” Dengan tersipu-sipu adik tersebut menjawab. Mungkin malu, segan dan apa-apa je la kat aku tapi sewajarnya mereka lebih malu dan segan serta takut kepada pencipta yang menciptakan mereka lebih daripada manusia. “Okey”. Sepatah saja aku menjawab, aku dah malas nak tegur budak-budak ni. Dah berkali-kali aku bagi nasihat, tak juga dengar. Selebihnya, aku hanya mampu berdoa dan merintih pada Allah.

Beberapa hari selepas itu, aku terserempak dengan adik itu di blokku dengan mata merah dan bengkak. Sebelum bertanya kenapa mata merah, aku bertanya bila mula praktikal dan hal-hal lain. Aku rasa bertanggungjawab kat adik-adik ini memandangkan aku bagaikan kakak kepada mereka di kolej ini. Adik tersebut telah berpisah dengan ‘couple’ dia pada malam yang aku terserempak mereka berdua.

“Wahai adik-adikku, jangan mudah lemah dan menyerah hanya kerana cinta seorang lelaki. Inilah bahana dan bencana akibat menjalin hubungan yang Allah tak redha. Takutlah kalian akan amaran Allah dalam Al-Quran. Jangan sesekali kalian mendekati zina. Untuk melakukan zina sangat ditegah, apatah lagi mendekatinya.”

Aku bukan nak mendedahkan perihal adik-adik ini. Aku pun mempunyai adik. Aku juga takut dan bimbang seandainya adikku juga terlibat dalam kancah percintaan terlarang ini. Ubat penawar yang paling baik untuk mengelakkan diri dari terjerumus dalam zina ialah mendekatkan diri pada Allah Taala. Sibukkan diri kalian dengan kerja-kerja Islam dan kebajikan nescaya kalian akan mendapat hikmat dan kebaikan. Seandainya kalian tidak disibukkan dengann kerja-kerja kebaikan nescaya kalian akan disibukkan dengan kerja-kerja kebatilan. Ayuh! Adik-adik bersama mengejar impian dan cita-cita serta mencari keredhaan dan cinta Allah terhadap kita. Mari mencintai ilmu. Peringatan untuk diri, keluarga, sahabat dan masyarakat.

No comments: