Monday, October 18, 2010

WARKAH UNTUK MUSLIMATKU

Bismillahirrahmanirrahim..



Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.



Maaf untuk kata-kata yang bakal saya nukilkan seandainya kata-kata ini menyentuh hati dan mengguris perasaan.

Kata-kata ini adalah untuk kebaikan, nasihat dan peringatan sesama muslim.



“Sesungguhnya wanita adalah fitnah kepada lelaki dan kerana wanitalah lelaki jadi tidak tentu arah dan tidak dapat mengawal diri.”



Ketahuilah sahabat-sahabat,



“Wanita dikurniakan 1 akal dan 9 nafsu manakala lelaki 9 akal dan 1 nafsu. Wanita apabila mencapai umur tua, nafsunya akan semakin menurun. Namun, nafsu lelaki tidak menurun walaupun dah berumur.”



Ketahuilah juga saudariku,



“Penghuni neraka yang paling ramai terdiri daripada kauam wanita.”



“Seluruh tubuh badan wanita adalah aurat kecuali tapak tangan dan muka.”



Oleh itu, jagalah peribadi, aurat, akhlak dan tingkah laku kerana dirimu begitu berharga dan sangat mulia dan tinggi dalam Islam.

Pensyarah saya yang mengajar subjek Falsafah pernah melontarkan kata-kata kepada kami iaitu, “Pada zaman sekarang, manusia berlumba-lumba menonjolkan kemegahan diri, kecantikan, kekayaan dan berbangga dengan keturunan yang dimiliki. Facebook merupakan salah satu jalan untuk menonjolkan semua itu. Wanita berlumba-lumba meletakkan gambar mereka dengan pelbagai gaya di facebook. Tiada lagi rahsia. Saya tidak suka dikenali kerana rupa, harta, pangkat dan keturunan kerana yang membezakan kita di sisi Allah adalah ketaqwaan kepada Allah. Biarlah orang mengenali saya kerana ilmu yang saya miliki. ILMU YANG SAYA MILIKI...”



Fikirkan sahabat-sahabatku yang dikasihi.



“Orang yang paling baik adalah orang yang paling banyak memberi manfaat kepada orang di sekelilingnya.”



Jadi, apa manfaat dan faedah meletakkan gambar kalian di facebook yang haram ditonton oleh kaum Adam?



Malulah wahai saudariku..



Ayuh sahabat muslimat yang kusayangi kerana Allah semata,



Fikirkan dan timbangkan apa tujuan sebenar kalian meletak gambar dengan mudahnya di facebook. Alam maya ini bukan hanya untuk wanita namun untuk lelaki juga. Tidak malukah kalian apabila kaum Adam yang bukan mahram kalian menonton susuk tubuh kalian sesuka hati dengan mudahnya dan pada bila-bila masa yang mereka ingin lihat? Malulah wahai sahabat-sahabat muslimat yang memiliki harga dan maruah diri yang tinggi.



Islam telah mengajar bahawa kaum wanita hanya layak untuk ditonton oleh suami, ayah, keluarga dan anak-anak serta kaum wanita sahaja. Nah! Lihat..di mana harga diri kalian sekarang ini? Adilkah sikap kalian ini kepada bakal suami dan anak-anak kalian? Dengan mudah, klik di tetikus sahaja, kaum Adam yang tidak dikenali di serata pelosok dunia dapat melihat susuk tubuh kalian yang pelbagai gaya dengan sewenang-wenangnya.



Ketahuilah,

Islam meletakkan wanita di tempat tertinggi, nabi berusaha mengangkat maruah dan kehormatan wanita setelah kedatangan Islam. Pada zaman jahiliyah dahulu, wanita dijadikan alat untuk memuaskan nafsu seks, penari dan apa sahaja dapat dilakukan. Dan kini, wanita sendiri yang menonjolkan diri di alam maya untuk memuaskan mata-mata lelaki yang bukan mahram.





Katakan sahabat-sahabat,



“Inni akhofullah.” (Sesungguhnya aku takutkan Allah)



“Perempuan yang baik tidak memandang dan memandang.”



Seandainya nabi masih hidup, sudah pasti nabi menangis melihat wanita pada zaman ini..

Fikirkan dengan baik2 dan bertindaklah dengan penuh bijaksana dan hikmah. Sama ada untuk memadamkan gambar kalian atau tidak, itu hak kalian. Saya hanya menyampaikan dan berkongsi sekadar yang saya tahu.



“Sebenarnya haram meletakkan gambar wanita di facebook kerana letak gambar dan tak letak gambar kena timbang dari segi manfaat dan mudaratnya.” –nasihat seorang sahabat.



“Walaupun tutup aurat tapi kecantikan tetap terserlah dan boleh membawa fitnah kepada pihak yang lain. Lebih baik tak perlu letak gambar-gambar peribadi, gantikan dengan bunga, pemandangan dan lain-lain.”-Ustazah Pabiyah Haji Maming, pensyarah FBMK,UPM.





Jadilah wanita yang solehah dan bidadari penghuni syurga.



“Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.” (Riwayat Muslim)



“Wahai mujahidah Islam! Entah berapa lagi usiamu yang masih tinggal. Tahukah dikau pekerjaan besar ini tidak akan selesai di tangan engkau? Jalan masih panjang, rantau masih jauh! Dengan al-Quran di tangan kanan dan kain kafan di tangan kiri, teruskanlah perjalanan ini. Kamu adalah kaum Muslimah, nama pilihan dan panggilan kehormatan yang diberikan Tuhan dari dahulu hingga kini, denyutkan kembali jantung umat ini! Hanya dengan aqidah yang kuat dan qaidah yang jelas, kamu dapat menempuh kehidupan ini. Tidak lama lagi dikau akan kembali pulang, memberi laporan kepada Tuhan.”- As-Syahid Imam Hassan al-Banna.





“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (An-Nur:31)





Saya layangkan warkah ini bukan sekadar untuk melepaskan tanggungjawab amar ma’ruf dan nahi mungkar semata. Jauh sekali omongan kosong yang berniat melukakan hati kalian semuanya. Warkah ini dilayangkan dengan penuh rasa cinta, dengan harapan yang tinggi untuk bersama melangkah untuk mencapai redha dan cinta Ilahi. Dan akhirnya, semoga kita semua kekal sebagai hamba-hamba yang dicintai di Syurga-Nya!



Dakwah with Love.

Al-fakir ilallah.

No comments: