Thursday, December 23, 2010

Perkahwinan saya yang bukan biasa-biasa

Mungkin bagi sebilangan besar muslimah memilih untuk berkahwin atas dasar 'memang sudah sampai seru' atau 'memang sudah mahu berkahwin'. Ya lah, mungkin dipengaruhi juga oleh faktor cinta kepada pasangan, calon pilihan keluarga atau apa saja.


Berbeza dengan muslimah dalam kalangan abnaul-harakah, mereka bukan berkahwin disebabkan cinta kepada pasangan atau hanya faktor keluarga. Tetapi apa yang lebih utama adalah bagaimana perkahwinan menjadi medan 'perniagaan' buat perjuangan Islam sebagaimana mereka juga 'berniaga' ketika sebelum perkahwinan.


Bagi mereka, apalah ertinya sebuah perkahwinan tanpa didasari cinta kepada perjuangan Islam. Kehidupan selepas berkahwin bukan kehidupan sehari dua, tetapi selamanya. Bahkan hingga ke syurga. Justeru, inilah matlamat jelas yang dipasak dan ditanam dalam diri setiap muslimah abnaul-harakah bahawa perkahwinan juga merupakan suatu bentuk 'wasilah' yang menyumbang kepada 'perniagaan' akhirat.


Apa yang diimpikan oleh mereka ialah dikurniakan oleh Allah seorang individu Muslim yang iltizam terhadap agamanya. Iltizam kepada agama bukan sahaja daripada sudut amalan fardhu yang digariskan agama, tetapi juga persoalan praktikal kepada kalimah syahadah.


Iltizam kepada agama bermaksud bagaimana seorang individu Muslim sanggup mempertaruhkan diri menjadi benteng agama ini. Iltizam kepada agama bermaksud bagaimana seorang individu Muslim boleh mendidik dan membimbing individu lain demi keuntungan perniagaan akhirat. Iltizam kepada agama bermaksud bagaimana seorang individu Muslim mampu membentuk sebuah generasi yang dapat mencontontohi keperibadian 'Jilul Quran' terdahulu.


Bagi mereka, pembinaan generasi adalah perkara utama dalam perkahwinan. Justeru, calon yang bagaimana dapat mengisi kekosongan sebagai 'pendidik' kepada generasi tersebut adalah perkara yang tidak mudah. Tidak hairanlah jika ada dalam kalangan akhawat yang masih tidak berkahwin walaupun sehingga mencecah umur 40-an. Ya, kerana cinta kepada perjuangan mereka harus memilih dan cerewet dalam pemilihan.


Hebat bagaimanapun sosok tubuh seorang muslimah gerakan, mereka tetap seorang wanita. Justeru, 1 saja pesanan saya kepada ikhwah. Permudahkanlah pemilihan mereka yang sanggup menggadaikan jasad, nyawa, emosi dan perasaan demi perjuangan Islam.



dipetik dari,
Layyinulharir
Bukan Rumah Sumayyah

No comments: