Sunday, July 12, 2009

IBADAT UMRAH

Perjalanan kami mengerjakan ibadat umrah bermula pada 30hb Mei dan selamat kembali ke tanah air pada 11hb Jun. Syukur pada Allah yang telah memilih kami yang serba kekurangan ini untuk menjadi tetamu-Nya. Terima kasih ma abah kerana dengan murah hati membawa kami tiga beradik bersama-sama mengerjakan umrah. Niat ibuku untuk membawa kami ke tanah suci akhirnya menjadi kenyataan. Alhamdulillah dengan izin-Nya kami dapat menjejakkan kaki julung-julung kalinya ke tanah suci.

Kami bertolak dari Malaysia pada pukul 1.00 tengahari dan selamat tiba di lapangan terbang Madinah pada pukul 5.30 petang. Perjalanan selama 9 jam membuatkan kami berasa tidak sabar-sabar lagi untuk melihat keindahan bumi suci sebagaimana yang diceritakan oleh jemaah haji dan ditonton dalam tv. Mata kami sekejap-kejap pandang ke luar tingkap melihat keindahan bumi Allah. Subhanallah sangat cantik melihat bumi Allah.

Kapal terbang Arab Saudi Airlines yang kami naiki sangat besar dan dapat menampung ramai penumpang pada satu-satu masa. Dianggarkan seramai 450 orang yang menaiki kapal terbang tersebut. Makanan yang disediakan di atas kapal terbang separuh masak menyebabkan ramai penumpang yang muntah ketika kapal terbang hendak mendarat. Di samping itu, ketika pendaratan berlaku sedikit gegaran membuatkan perut beralun dan seterusnya muntah. Termasuk diriku yang lemah ini. Habis semua makanan yang dimakan muntah. Terdengar penumpang di belakang, kiri dan depanku muntah. Samalah semua. Cuaca panas juga mula terasa.

Alhamdulillah kami berada di Madinah selama 2 hari dan di Mekah 9 hari. Kami menginap di hotel yang sangat bagus dan selesa. Boleh dikatakan bertaraf empat bintang. Di Madinah, kebanyakan hotel besar. Makanan juga sedap kerana masakan orang Patani.

Pertama kali menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi, terasa kerdilnya diri ini. Subhanallah…sangat cantik dan indah. Teruja dan tidak sabar untuk masuk ke dalam masjid. Sebelum melangkah masuk ke Masjid Nabawi, beg kami perlu diperiksa. Masya Allah.. kalimah pertama menutur di bibir saat memandang dan meneroka ke dalam masjid. Sangat luas dan besar. Botol air yang sentiasa di dalam beg, kami isi dengan air zam-zam. Seterusnya, mengambil tempat ke dalam masjid. Laungan azan bergema kuat. Syahdunya..

Bacaan imam benar-benar menusuk hati kami di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. Bacaan mereka sangat merdu dan jelas. “Ya Allah, gembiranya dapat solat di masjid-masjid ini yang pernah Nabi dan para sahabat solat di dalamnya.” Gembira melihat ramainya umat manusia berduyun-duyun ke masjid setiap kali waktu solat. Pertama kali aku tengok muslimin yang berlari-lari kerana mengejar solat berjemaah. Manakala muslimat pula melajukan langkah untuk mendapatkan pahala berjemaah. Alangkah indahnya jika keadaan tersebut berlaku di Malaysia.

Pada malam pertama, kami dapat melihat bumbung Masjid Nabawi bergerak. Cantik sungguh dan dapat melihat bumbung langit pada waktu malam dihiasi bintang dari dalam masjid. Subhanallah, masya Allah..indahnya.

Hari pertama kami di Madinah, kami dibawa melawat sekitar Masjid Nabawi. Antaranya, pasar-pasar di tepi masjid, perkuburan Baqi’ dan masjid-masjid dahulu yang tidak digunakan lagi. Pembinaan sedang dilakukan di sekitar masjid, pintu yang selalu jemaah muslimat masuk, ditutup untuk pembaikan. Jadi, kami masuk melalui pintu yang jauh ke belakang. Hari kedua, pagi-pagi lagi kami menaiki bas melawat Masjid Quba’, Masjid Qiblatain, pasar kurma, kubur isteri Nabi s.a.w dan ladang kurma.

Selepas solat Zohor, kami bertolak ke Mekah dengan tiga buah bas. Dalam perjalanan, kami singgah untuk solat Asar. Sangat cantik masjid tersebut. Perjalanan memakan masa selama 5 jam. Selawat dan zikir kami alunkan perlahan-lahan. Kami tiba di Mekah pada pukul 10.30 malam. Selepas makan malam, kami terus mengangkat beg-beg ke dalam bilik. Seterusnya, kami perlu tidur awal agar dapat mengerjakan ibadat umrah dengan baik pada esoknya. Ada sebilangan jemaah yang terus mengerjakan ibadat umrah ( tawaf dan saie ) pada malam tersebut. Kuatnya badan mereka tapi kepenatan juga..sampai-sampai terus mengerjakan umrah.

Ramai juga jemaah kami yang membawa anak-anak kecil untuk mengerjakan umrah. Satu keluarga, empat atau lima orang anak yang turut dibawa. Alhamdulillah. Ada yang emak mereka tak boleh berjalan, mereka bergilir-gilir tolak dengan kerusi roda. Gigihnya mak cik dan anak-anaknya. Terdapat juga jemaah kami yang sindrom down, turut sama mengerjakan ibadat.

Satu peristiwa yang menyentuh hatiku adalah melihat peminta-peminta sedekah kanak-kanak yang dipotong kedua-dua belah tangannya. Cukup menyayat hati di tengah-tengah cuaca yang panas terik mereka duduk berlutut di sekitar masjidil haram, di tempat pembinaan. Kenapa kerajaan Arab tidak mengambil tindakan untuk menjaga rakyat mereka..Kanak-kanak tersebut merupakan orang Arab kulit hitam yang hidup susah. Tak ada siapa yang menghulurkan sedekah.

Sahabat-sahabat nak tau, aku bertemu dengan Syaza mmk kpz di hadapan Masjidil Haram ketika nak melangkah masuk Syaza menegurku. Subhanallah, di kalangan berjuta-juta umat manusia, Allah mempertemukan kami. Syukur pada-Nya. Syaza juga datang bersama keluarganya.

Setiap kali selepas solat fardhu, kami akan mengerjakan solat jenazah. Setiap waktu pasti ada solat jenazah. Pelbagai bangsa kami dapat bertemu di sana. Kami mengerjakan ibadat tawaf dan saie pada waktu pagi kerana di saat itu tidak ramai orang berbanding waktu malam.

Masyarakat Arab sangat dermawan. Selepas solat pasti ada sedekah makanan. Orang kita panggil sabilillah atau ‘sabil’. Di tepi jalan, selepas subuh kami menerima sebuku roti bulat yang besar dari pak syeikh arab. Sebelum ini, kami pernah menerima seplastik besar nasi Arab dan kurma. Makanan kat sana sangat mewah dan sedap-sedap. Orang Arab terkenal dengan sifatnya yang sangat memuliakan tetamu. Ketika kami ke pasar, pasti Pak Arab bersalam dan berdakap dengan abah dan adikku. Sangat memuliakan tetamu jika dibandingkan dengan penjual-penjual di Malaysia. “Malaysia bagus”, ungkapan itu yang dituturkan Pak Arab untuk menarik pelanggannya. Namun, Pak Arab jenis tidak sabar, di jalan-jalan raya sering kedengaran hon-hon kereta yang tidak henti-henti. Kenderaan yang dipandu juga laju. Aku perhatikan tiada wanita Arab yang memandu kenderaan. Semua lelaki Arab. Wanita Arab tidak dibenarkan keluar bebas tidak seperti wanita di Negara kita.

Hari terakhir kami di sana terasa sangat syahdu, sayu, sedih dan berat hati untuk meninggalkan bumi Mekah. Kami bertolak selepas waktu Asar ke lapangan terbang Jeddah. Sepanjang perjalanan, kami dapat melihat bumi Jeddah yang disirami lampu-lampu yang sangat cantik. Mewahnya Negara Arab ni, ya negaranya merupakan Negara yang kaya. Hasil bumi utamanya adalah minyak.

“Ya Allah, pilih dan jemput kami kembali menjadi tetamu-Mu di tanah suci ini.” Ketika kapal mencecah ruang udara, terasa diri ini telah jatuh cinta pada bumi Mekah. Syukur pada-Mu Ya Rabb. Kerinduan pasti menggamit kami kembali untuk ke sana. Insya Allah.

No comments: