Saturday, July 11, 2009

Sambung Pengajian..alhamdulillah.

Alhamdulillah..

Syukur pada Yang Maha Esa dapat kukembali menjejakkan kaki ke bumi UPM setelah dua bulan bercuti. Pengajian Master semester pertama 2009/2010 bermula pada hari Jumaat 10hb Julai 2009. Kelas kami hanya hujung minggu iaitu hari Jumaat dan Sabtu. Alhamdulillah hari lain ku berkesempatan menjaga kedai PMIUPM.

Besar harapan abah yang benar-benar bercita-cita untuk melihat anak perempuannya ini menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi lagi. “Insya Allah abah, kak jah akan berusaha sedaya upaya untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi”. Janjiku sungguh-sungguh. Kakakku pun tidak putus-putus memberi semangat dan dorongan kepadaku. Macam-macam nasihat diberikannya.

Dua abang dan dua kakakku semua dah bekerja. Alhamdulillah. Aku dan adik bongsuku, Aiman yang tingkatan empat masih menuntut. Semoga Allah menolong dan mempermudahkan urusan kami setiap masa dan ketika.

“Ya Allah, aku tak nak terpinggir dalam perjuangan menegakkan agama-MU. Semoga usahaku ini dapat melahirkan lebih ramai intelektual muslim dalam jemaah Islam dan seterusnya menolong dan mengukuhkan jemaah Islam serta ummah.” Aku tak nak menyambung pelajaran untuk mendapat gaji yang tinggi untuk kepentingan diri dan keluarga semata-mata, namun lebih jauh lagi ingin kusumbangkan untuk jemaah Islam dan fakir miskin yang memerlukan.

Aku pernah terbaca buku jutawan internet muda, Irfan Khairi. Doa yang sentiasa dipanjatkannya; “Ya Allah, jadikanlah aku seperti air yang sentiasa mengalir tenang di sungai yang menghilangkan dahaga kepada semua orang pada setiap hari” Bukan mudah untuk mencapai kejayaan dan kebahagiaan melainkan dengan usaha keras yang tidak pernah jemu dan berputus asa. Matlamat yang jelas dan tetap kita tuju dengan hati yang suci bersih mengharap dan mendamba pertolongan-Nya. Hanya orang yang berusaha akan mendapat hasilnya.

“Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya Kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” ( al-Nahl: 97 )

“Kekuatan dan motivasi yang cukup kuat adalah kembali dan ingatlah kepada Allah dan Rasulullah s.a.w.” kata Kak Basitah ketika kami sama-sama satu usrah dahulu dengan Kak Aida Ros. Pengorbanan Nabi s.a.w dan para sahabat serta para syuhada’ dalam menegakkan Islam di muka bumi ini tidak dapat disamakan dengan pengorbanan kita. Kesusahan yang kita alami hanya secebis. Sering kuingatkan diri ini tatkala rasa lemah. Semoga Allah memilih kami untuk sentiasa mendapat redha dan rahmat dari-Nya. Ameen.


Cahaya Kemuliaan.

No comments: